Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelan Takaful Ar-Rizq Max dilancar

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Dalam usaha untuk memperkenalkan lebih banyak produk ke pasaran termasuk produk simpanan baharu, Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn Bhd (IITFT) pagi tadi melancarkan produk simpanan dan perlindungan jangka pendek Pelan Takaful Ar-Rizq Max (Pelan 2) yang diadakan di Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITH), Ibu Pejabat, Kiulap.

    Pelancaran disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Urusan IITFT, Haji Mohd Yusreza bin Haji Mohd Yussin. Turut hadir ialah Penolong Pengarah Urusan IITH, Haji Hassan bin Haris.

    Majlis diteruskan dengan sidang media didahulukan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengurus Besar IITFT, Haji Shamsul bin Haji Muhamad diikuti dengan pembentangan produk oleh Pegawai Eksekutif Kanan Pembangunan Produk, Hajah Siti Norahimah binti Haji Abdurahim.

    Haji Shamsul menerangkan bahawa Ar-Rizq Max 2 itu menawarkan pelan simpanan dua tahun berbanding setahun.

    Beliau turut menjelaskan objektif produk simpanan secara umum adalah untuk menyediakan alternatif saluran simpanan jangka pendek, selain untuk berkongsi pulangan yang menarik kepada bakal pelanggan yang sedang mencari penambahan dan mengembangkan kewangan mereka.

    Haji Mohd Yusreza semasa menyempurnakan pelancaran pelan takaful tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Pegawai-pegawai kanan dan warga IITFT bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Ia juga untuk mengekalkan kesan inflasi sekurang-kurangnya untuk dua tahun akan datang dan untuk mencapai bukan sahaja objektif kewangan jangka pendek akan tetapi juga jangka panjang atau sederhana.

    Seperti contoh simpanan haji atau pendidikan sebagai transit untuk mengambil peluang pulangan yang lebih tinggi untuk produk simpanan ini.

    Menyentuh mengenai dengan faedah daripada produk simpanan tersebut, beliau menjelaskan, Ar-Rizq Max 2 boleh menawarkan keyakinan, kepercayaan dan keselesaan kepada bakal pelanggan. Produk berkenaan merupakan penjimatan ditambah dengan perlindungan, bahagian simpanan adalah sama baik dengan modal untuk prinsipal yang dilindungi yang ditawarkan di pasaran, terdapat elemen perlindungan yang meliputi kematian akibat penyakit, kemalangan yang menawarkan faedah kewangan sebanyak $10,000.

    Beliau turut menambah produk ini juga secara tidak langsung menawarkan sumbangan-sumbangan takaful kepada peserta sekiranya berlaku musibah dan tawaran pulang 6.3 peratus yang mana adalah tertinggi di pasaran.

    Sementara itu, Hajah Siti Norahimah menerangkan bahawa produk berkenaan bukan sahaja untuk perlindungan jangka pendek akan tetapi ia juga pelan perlindungan takaful dalam satu pakej.

    Produk ini dibukakan kepada warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam berumur 18 tahun hingga 68 tahun yang layak untuk mendapatkan produk berkenaan.

    Untuk pelan baharu ini, peserta boleh mula menyimpan serendah $5,000 sehingga $200,000 dan boleh menikmati pulangan indikatif semasa sebanyak 6.3 peratus pada tempoh yang sudah matang, tertakluk kepada prestasi pasaran dengan terma dan syarat dikenakan.

    Produk simpanan berkenaan menggunakan konsep syariah iaitu Mudharabah dan juga wakalah. Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai dengan Pelan Takaful Ar-Rizq Max 2 boleh menghubungi IITFT atau mengunjungi cawangan IITFT.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda