Sunday, January 19, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelancaran roket Space One gagal kali kedua

    WAKAYAM, 18 DIS – Syarikat pemula Jepun, Space One Co. sekali lagi gagal melancarkan roket pada Rabu, memberi tamparan hebat kepada usaha syarikat itu untuk menjadi firma swasta pertama di Jepun yang berjaya meletakkan satelit ke orbit, lapor Kyodo News

    Roket ‘Kairos No. 2’ sepanjang 18 meter itu berlepas dari Space Port Kii di Kushimoto, wilayah Wakayama, satu-satunya pelabuhan angkasa komersial Jepun.

    Namun, Space One memaklumkan bahawa pelancaran terpaksa dihentikan di pertengahan penerbangan. 

    Pelancaran yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu lepas telah ditunda dua kali akibat angin kencang.

    Roket itu membawa lima satelit milik pelbagai pihak termasuk Agensi Angkasa Taiwan, serta syarikat Jepun Space Cubics LLC dan Terra Space Inc. 

    Kejayaan misi ini sepatutnya menjadi langkah penting bagi aspirasi Jepun dalam sektor angkasa, terutamanya ketika permintaan global untuk melancarkan satelit semakin meningkat, menurut pakar. 

    Cubaan pertama pada Mac lalu juga gagal apabila roket meletup sejurus selepas berlepas ekoran arahan pemusnahan sendiri.

    Kegagalan itu berpunca daripada kesalahan pengiraan terhadap daya dorongan roket. 

    Syarikat berpangkalan di Tokyo ini menyasarkan untuk mencapai masa persediaan pelancaran paling pendek di dunia, dengan pelancaran dilakukan dalam tempoh setahun selepas kontrak dimuktamadkan. – Bernama

    Roket Kairos No 2, roket komersial yang membawa satelit Jepun, dilancarkan dari Pelabuhan Angkasa Kii di bandar Kushimoto, barat Jepun kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda