Saturday, September 28, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelancong kini boleh mohon visa Sri Lanka tanpa bayaran tambahan

    COLOMBO, 27 SEPT – Sri Lanka telah memulihkan platform permohonan visa dalam talian untuk menggalakkan pelancongan selepas mahkamah tertingginya menggantung perjanjian kontroversi bernilai jutaan dolar yang menyerahkan pemprosesan visa kepada konsortium asing.

    Kerajaan Presiden yang baharu dipilih, Anura Kumara Dissanayake lewat kelmarin berkata bahawa langkah itu bertujuan untuk mempromosikan sektor pelancongan utama negara kepulauan itu, ketika ekonominya perlahan-lahan pulih daripada krisis kewangan 2022.

    Pelancong kini boleh memohon visa dalam talian tanpa membayar AS$25 yang dikenakan oleh VFS Global yang berpangkalan di India, yang memenangi kontrak pemerolehan sumber luar pada April daripada kerajaan terdahulu.

    Aktivis hak asasi manusia telah mendakwa di mahkamah bahawa kontrak itu tidak diberikan secara telus dan berkata konsortium itu berpotensi memperoleh pendapatan sehingga AS$2.75 bilion dalam tempoh 16 tahun.

    Mahkamah Agung Sri Lanka pada Ogos memerintahkan pihak imigresen untuk kembali kepada platform dalam talian yang digunakan sebelum penganugerahan kepada VFS Global.

    “Kemudahan visa yang disediakan oleh VFS Global telah menimbulkan kesukaran yang ketara bagi ramai orang,” kata pejabat Dissanayake dalam satu kenyataan kelmarin, sambil menambah bahawa warga asing menghadapi cabaran untuk mendapatkan visa. – AFP

    Foto yang diambil pada 19 Julai menunjukkan sebuah rumah api di Galle, Sri Lanka. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda