Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelbagai program diadakan sempena Hari Belia Kebangsaan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Hari Belia Kebangsaan Negara Brunei Darussalam disambut setiap 1 Ogos yang bertujuan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada para belia.

    Ia juga dijadikan sebagai platform untuk membarigakan kejayaan para belia di peringkat kebangsaan di samping memartabatkan belia-belia di seluruh negara dengan memberikan peluang kepada belia-belia berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dan juga mengeratkan silaturahim di kalangan komuniti belia.

    Sehubungan itu, Majlis Doa Kesyukuran sempena sambutan berkenaan diadakan hari ini yang diisikan dengan solat fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, Bacaan Surah Yasin, Bertahlil serta Bacaan Doa Kesyukuran yang diadakan di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba, Gadong.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat ke Majlis Perhimpunan Agung Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19 pada 7 Ogos bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Tahun ini, tema sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19 adalah dikekalkan seperti lima tahun kebelakangan iaitu Belia Siaga Masa Depan. Tema ini masih lagi relevan dengan penumpuan kepada konsep sambutan iaitu Belia Berwawasan yang membawa maksud belia merupakan tonggak utama negara; mempersiapkan diri belia dengan acuan yang berkualiti tanpa meninggalkan nilai keBruneian; kesiagaan belia dalam mewujudkan ekosistem pembangunan belia yang dinamik, mapan dan inklusif; strategi untuk mempersiapkan belia siaga masa depan merupakan tanggungjawab bersepadu; mempelajari dan mengamalkan maqasid syariah sebagai landasan utama dan membentuk sahsiah; dan Memanfaatkan teknologi dan kemahiran digital.

    Konsep sambutan kali ini akan lebih memfokuskan kepada Belia Berwawasan dengan mempamerkan sumbangan para belia melalui aktiviti-aktiviti persatuan atau pergerakan yang menjurus kepada pengukuhan budaya perpaduan termasuk sumbangan belia secara individu yang mendukung Wawasan Brunei 2035 ke arah membina sebuah negara yang dinamik, makmur dan inklusif yang berkonsepkan kepada Melayu Islam Beraja (MIB), kesukarelawanan, kemasyarakatan dan khidmat bakti belia.

    Beberapa program telah pun disusun untuk dimuatkan dalam Majlis Perhimpunan Agung Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, termasuk Pengurniaan Anugerah-anugerah Hari Belia Kebangsaan dalam empat kategori iaitu Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat, Pemimpin Muda Belia, dan Projek Cemerlang untuk Belia.

    Sementara itu, pameran Hari Belia yang akan diadakan selama dua hari iaitu pada 7 Ogos hingga 8 Ogos di East Concourse, ICC, Berakas, Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil akan diadakan pada 3 Ogos di Kubah Makan Diraja, pukul 1 petang, Khutbah Jumaat yang telah menyentuh mengenai dengan tajuk tema sambutan dan dibacakan pada 26 Julai lalu.

    GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda