Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang memandu, tonjol sifat wanita berdikari

    RIYADH – Kaum wanita di Arab Saudi kini berpeluang untuk memandu secara bebas di seluruh kawasan jalan di negara setelah selama bertahun-tahun mereka ditegah untuk melakukannya.

    Tatkala tegahan tersebut telah dibatalkan maka secara tidak langsung turut membuka peluang pekerjaan kepada wanita itu di negara iaitu bertugas selaku seorang pemandu.

    Sebelum ini, tugas tersebut hanya dipelopori oleh kaum lelaki namun berikutan daripada sebahagian tabu sosial ramai juga yang menolak untuk melakukan pekerjaan tersebut kerana menganggap ia sebagai pekerjaan yang berpendapatan rendah dan lebih banyak dilakukan oleh pekerja asing dari India, Pakistan dan Bangladesh.

    Namun ada di antara wanita Arab juga telah berani tampil ke hadapan menyahut cabaran untuk bergelar seorang pemandu dengan menawarkan khidmat pengangkutan seperti Uber tanpa mengira akan sebarang perspektif konservatif yang dilontarkan kepada mereka.

    “Setentunya ia merupakan satu perkara biasa apabila sesetengah individu sukar untuk menerima perubahan. Namun tatkala mereka dapat melihat gambaran dan peluangnya secara lebih positif berhubung dengan kebenaran hak wanita untuk memandu setentunya ia juga turut membuka peluang kepada mereka untuk memberikan tanggapan yang lebih baik,” jelas Ammal Farahat, seorang ibu kepada dua orang anak dan pemegang dua ijazah sarjana yang turut mengendalikan pusat konsultansi tersendiri.

    Farahat terlebih dahulu memiliki lesen memandu dari Amerika Syarikat (AS) sebelum berpeluang untuk mendapatkan lesen memandu sah dari Arab Saudi telah mendaftar sebagai seorang pemandu di bawah Careem, sebuah syarikat tempatan yang turut menawarkan khidmat sama seperti Uber.

    Dia dan adiknya yang membesar di Arab Saudi bersama ibu yang berasal dari Jerman telah mengambil peluang untuk bertugas selaku seorang pemandu.

    Farahat menjelaskan bahawa dia telah membuat keputusan untuk menggalas tanggungjawab tersebut adalah untuk untuk mengikis stereotaip yang sering dilontarkan terhadap kaum wanita di Arab Saudi.

    Bagi kaum wanita yang telah mendaftar diri selaku seorang pemandu, setentunya tugas tersebut telah menyediakan sumber pendapatan yang sendiri sekali gus membantu pertumbuhan kewangan mereka.

    “Dengan membukakan platform kepada wanita, setentunya ia telah memberi peluang bagi mereka menjadi lebih berdikari seperti memandu sendiri ke tempat kerja bahkan juga turut membukakan peluang pekerjaan kepada mereka di mana ia sangat sesuai bagi wanita yang sangat gemar untuk melakukan cabaran dalam melakukan tugas,” jelas pengasas bersama Careem, Abdullah Elyas.

    Bukan sahaja kaum wanita malah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, ribuan golongan belia lelaki di Arab Saudi juga semakin berani untuk menceburkan diri bertugas sebagai seorang pemandu dan menawarkan khidmat pengangkutan kepada orang awam.

    Perubahan ini juga secara tidak langsung turut menggambarkan peralihan gaya hidup penduduk Arab yang kini lebih berani menceburkan diri dalam pelbagai industri.

    Sebelum ini pengangguran di Arab Saudi dikatakan mencapai pada kadar 13 peratus di mana majoritinya terdiri daripada kalangan wanita yang berusia di antara 25 hingga 29 tahun.

    Justeru, dengan pembatalan pada tegahan untuk memandu dalam kalangan wanita secara tidak langsung setentunya akan memperlihatkan mereka lebih berdikari, berkemahiran dan setentunya membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang secara tidak langsung membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara tersebut.

    Bagaimanapun terdapat beberapa syarat yang masih dikenakan kepada golongan wanita ini seperti mereka memerlukan kebenaran rasmi dari saudara lelaki untuk mendapatkan pasport atau melakukan perjalanan ke luar negara.

    Di samping itu, mereka juga harus mendapat sokongan daripada bapa, suami atau adik-beradik lelaki sebelum mereka dibenarkan untuk bekerja atau memandu.

    Setakat ini, seramai 2,000 orang wanita telah berdaftar sebagai pemandu di bawah Careem sejak negara tersebut mengumumkan kebenaran untuk memandu dalam kalangan wanita pada September lalu.

    Salah seorang wanita yang kelihatan sangat berpuas hati apabila berjaya mendapat lesen memandu yang sah sekali gus berpeluang untuk memandu di Arab Saudi. – AP
    Ammal Farahat merupakan seorang wanita cekal dan gemar menyahut cabaran apabila turut mendaftar sebagai pemandu dengan Careem yang beroperasi dalam menawarkan khidmat pengangkutan awam di Arab Saudi. – AP

    Sementara Uber pula telah melancarkan laman web baru-baru ini dan dikatakan telah berjaya menarik perhatian sekitar 100 orang wanita di negara untuk bertugas sebagai pemandu berdaftar.

    Di samping itu, seramai lebih dari 150,000 kaum lelaki juga telah mendaftar diri sebagai pemandu di Uber di mana kebanyakannya melakukan tugas tersebut sebagai kerja sambilan. Careem juga turut mengatakan bahawa bilangan pemandu lelaki terdiri daripada penduduk negara itu yang mendaftar diri sebagai pemandu juga telah mencapai 170,000 orang.

    Sebanyak 80 peratus pelanggan Uber dan 70 peratus pelanggan Careem di Arab Saudi adalah terdiri dari kaum wanita.

    Apabila dekri diraja diumumkan pada tahun lalu yang memberi kebenaran kepada kaum wanita untuk memandu maka secara tidak langsung turut meningkatkan lagi semangat wanita untuk memandu sebagaimana perkongsian gambar yang mereka dilakukan di media sosial sambil turut bersedia untuk memadam aplikasi Uber dan Careem.

    Elyas menjelaskan bahawa syarikatnya langsung tidak pernah bimbang terhadap perubahan tersebut yang mungkin boleh memberi kesan terhadap keuntungan yang diterima.

    “Pemandu wanita memang diperlukan di Arab Saudi kerana secara tidak langsung turut memberikan keselesaan kepada pelanggan wanita apabila mereka berpeluang untuk menaiki kereta yang dipandu juga oleh seorang pemandu wanita,” jelas Elyas.

    Sebagaimana umumnya, budaya di Arab Saudi yang menghalang pergaulan di antara kaum wanita dengan kaum lelaki yang bukan muhrimnya maka aduan juga pernah dilakukan oleh kaum wanita apabila pemandu lelaki telah membawa mereka untuk berbual di sepanjang khidmat pengangkutan dilakukan.

    Uber juga telah menjalankan penyelidikan dan mendapati bahawa 74 peratus pemandu wanita yang menyatakan bahawa mereka hanya berminat untuk memberikan khidmat pengangkutan kepada penumpang wanita.

    Bagi memenuhi kehendak tersebut, Uber juga telah menampilkan ciri baru dalam aplikasinya bagi pelanggan wanita di Arab Saudi khususnya untuk memilih pemandu wanita yang secara tidak langsung dapat memberi keselesaan kepada mereka.

    Syarikat tersebut menjelaskan usaha tersebut adalah sebagai langkah untuk menghormati konteks budaya di Arab Saudi.

    Careem juga turut menjelaskan bahawa syarikatnya juga telah memudahkan pelanggan untuk memilih pemandu yang mereka kehendaki sebagaimana maklumat yang turut disertakan dalam aplikasi tersebut. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda