NIZHNIY NOVGOROD, 19 Jun – Buat seorang pemain yang sering menjadi tajuk utama akhbar di Piala Dunia, ia memang wajar untuk Luiz Suarez membuat penampilan ke-100 bersama Uruguay di kejohanan global itu.
Penyerang Barcelona itu tidak begitu menyerlah namun akan membuat kemunculan bersama Celeste apabila Uruguay dijadualkan bertemu Arab Saudi di Rostov-on-Don dalam aksi kedua Kumpulan A, esok.
Perlawanan itu seharusnya tidak menimbulkan masalah dan mungkin menjamin slot Uruguay ke pusingan kalah mati, manakala penyokong Suarez sedar tidak ada yang istimewa bakal berlaku nanti.
Dua edisi Piala Dunia sebelum ini menyaksikan Suarez dikeluarkan dengan penuh rasa malu.
Pada tahun 2010, penyerang itu diarah keluar padang selepas ‘menyelamatkan’ pasukan pada saat akhir ketika menentang Ghana, sekali gus membantu mereka daripada kekalahan dan mara ke pusingan empat terbaik.
Insiden berkenaan menjadi begitu tular sehingga memiliki entri di Wikipedia, Suarez dalam pada itu menggambarkannya sebagai aksi terbaik kejohanan, namun ia bukanlah sesuatu yang luar biasa berbanding empat tahun kemudiannya.
Pada tahun 2014, dia digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama empat bulan selain didenda selepas menggigit pemain Itali, Giorgio Chiellini, insiden gigitan ketiga dilakukan dalam kerjayanya.
Pemain Uruguay mengkritik cara Suarez dilayan pihak berwajib bola sepak namun aduan mereka itu tidak begitu menerima simpati dari negara luar.
Meskipun Suarez sering menjadi topik kontroversi, pemain berusia 31 tahun itu mempunyai rekod sebagai penjaring terbanyak Uruguay, meledakkan 51 kali dalam 99 perlawanan.
Lima daripadanya dihasilkan di Piala Dunia dan meskipun berdepan permulaan hambar ketika menang 1-0 ke atas Mesir, perlawanan menentang Arab Saudi nanti mungkin menghidangkan peluang untuknya meraikan penampilan ke-100 dengan bergaya.
Arab Saudi masih sedang merasai kesakitan dengan kekalahan 5-0 di tangan tuan rumah Rusia dan mungkin melakukan perubahan menyeluruh dalam usaha negara itu untuk terus kekal di kejohanan berkenaan. – AFP