Pemain dram kumpulan rock legenda, Rolling Stones iaitu Charlie Watts meninggal dunia pada usia 80 tahun di sebuah hospital di London, semalam.
Berita sedih pemergian pemain dram yang bersama Rolling Stones hampir 60 tahun lalu itu diumumkan pegawai medianya di London, Bernard Doherty.
“Watts meninggal dunia di sebuah hospital di London hari ini (semalam) di sisi keluarganya. Dia seorang suami, bapa, datuk dan juga anggota Rolling Stones yang sangat dihargai. Watts juga antara pemain dram terhebat untuk generasinya,” katanya dalam satu kenyataan. Awal bulan ini, Rolling Stones mengumumkan Watts tidak dapat menyertai konsert jelajah mereka di Amerika Syarikat kerana mengalami masalah kesihatan.
Selain Watts, Rolling Stones turut dianggotai Mick Jagger (penyanyi), Keith Richards (gitar) dan Ronnie Wood (gitar). Pemain gitar asal mereka, Brian Jones meninggal dunia pada 1969 dan pemain bass, Bill Wyman meninggalkan kumpulan itu pada 1993.
Apa yang pasti, berita itu pasti menyedihkan anggota kumpulan Rolling Stones. Jagger menerusi Instagram memuat naik gambar Watts yang sedang tersenyum sambil bermain dram tanpa sebarang keterangan gambar atau ‘caption’. Richards pula memuat naik gambar set dram kosong tanpa pemainnya di Twitter. – Agensi