LONDON, 26 APRIL – Pemain Tottenham menawarkan diri untuk membayar balik kos tiket perlawanan kepada penyokong selepas kekalahan 1-6 semalam di Newcastle ketika mereka membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini.
Spurs ketinggalan 0-5 dalam tempoh 21 minit di St James’ Park yang menyebabkan pengurus sementara, Cristian Stellini kehilangan tugasnya selepas tidak sampai sebulan mengendalikan pasukan.
“Kami memahami kekecewaan awda, kemarahan awda. Ia tidak cukup bagus,” kata Tottenham dalam satu kenyataan kelab.
“Kami tahu kata-kata tidak mencukupi dalam situasi seperti ini, tetapi percayalah, kekalahan seperti ini menyakitkan.
“Kami menghargai sokongan awda, di tempat sendiri dan di tempat lawan, dan dengan mengambil kira ini, kami ingin membayar balik kos tiket perlawanan penyokong di St James’ Park.
“Kami tahu ini tidak mengubah apa yang berlaku dan kami akan memberikan segala-galanya untuk memperbaiki keadaan menentang Manchester United apabila, sekali lagi, sokongan awda sangat bermakna kepada kami.”
Ketua pasukan, Hugo Lloris telah meminta maaf kepada peminat atas kekalahan ‘memalukan’ dalam temu bual selepas perlawanan, mengakui pasukannya menunjukkan ‘kekurangan semangat’.
Bekas pemain tengah Spurs, Ryan Mason telah diberikan tanggungjawab sebagai pengurus sementara untuk musim kedua, setelah menyelia akhir kempen 2020/21 berikutan pemecatan Jose Mourinho. – AFP
