Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembangunan, alam sekitar perlu seimbang

    Oleh Sim Y.H.

     

    DALAM usaha untuk mencapai Wawasan Brunei 2035, ia memerlukan kerjasama padu dan komitmen semua pihak termasuk kerajaan, swasta dan orang ramai untuk sama-sama berusaha melaksanakan serta menjayakan pelbagai rancangan yang membawa ke arah pencapaian matlamat tersebut.

    Kementerian Pembangunan turut sama-sama berusaha untuk menggariskan hala tuju pelbagai program dan perancangan untuk sama-sama menyokong, mendukung serta memperkasakan lagi negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Dalam hubungan itu, Kementerian Pembangunan, baru-baru ini, telah melancarkan Buku Kertas Rangka Dasar dan Pelan Strategik Kementerian Pembangunan 2018-2023, berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

    Ketika berucap di majlis pelancaran itu, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi berkata, “Buku rangka dasar dan pelan strategik yang akan kita lancarkan pagi ini adalah satu inisiatif Kementerian ini dalam penambah baikkan urus tadbir bagi memastikan ia nya adalah sejajar dalam mendukung matlamat Wawasan Brunei 2035, dengan penyusunan semula organisasi, penyejajaran institusi bagi memastikan pelan-pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang terarah kepada hala tuju yang sama untuk mencapai kepada sasaran yang dihajati.”

    Beliau turut menyatakan bahawa, Rangka Dasar (Policy Framework) 2018-2023, Kementerian Pembangunan, menggariskan hala tuju dasar dalam bidang-bidang yang menjadi keutamaan Kementerian Pembangunan di mana ia merangkumi sembilan sektor iaitu penyediaan perumahan, prasarana jalan raya, perkhidmatan bekalan air, penyediaan saliran, penyediaan pembetungan, persekitaran yang bersih dan lestari, penggunaan tanah yang optima, memudah cara bagi industri pembinaan serta pembiayaan infrastruktur.

    Menteri Pembangunan ketika menyampaikan ucapan semasa melancarkan Buku Kertas Rangka Dasar dan Pelan Strategik Kementerian Pembangunan 2018-2023, baru-baru ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi menyampaikan Buku Kertas Rangka Dasar dan Pelan Strategik Kementerian Pembangunan 2018-2023 kepada ketua-ketua jabatan di majlis yang berlangsung di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan, baru-baru ini.

    Antara yang hadir pada majlis tersebut.

    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi dalam ucapannya lagi menyentuh beberapa teras dalam bidang-bidang yang menjadi kepentingan kementeriannya bagi jangka masa lima tahun yang akan datang.

    Di antaranya, ulasnya lagi ialah Penyediaan dan pengurusan perumahan negara yang berdaya tahan di mana bagi menjamin kedayatahanan Rancangan Perumahan Negara (RPN) untuk mencapai kadar pemilikan rumah di kadar 85 peratus menjelang 2035, ia memerlukan perbelanjaan kos dan kadar subsidi yang agak besar.

    “Kementerian ini telah pun mengenal pasti beberapa pendekatan dan rebiu dasar yang harus dilaksanakan bagi menyokong inisiatif perkongsian-swasta-awam iaitu Private-Public-Partnership (PPP), menjamin mampu-milik (affordability), memberikan keutamaan bantuan bagi memiliki rumah khususnya bagi golongan yang memerlukan untuk mencapai pembangunan inklusif dan pengurusan kos yang lebih efektif.”

    Sementara itu, bagi mengoptimumkan sumber tanah, Yang Berhormat Dato berkata pentingnya untuk mengimbangi keperluan pembangunan sosioekonomi negara, di mana tanah-tanah yang dapat dimajukan adalah sangat terhad.

    Oleh itu, jelasnya, teras utama Kementerian Pembangunan adalah untuk memastikan pengoptimuman perancangan dan penggunaan tanah.

    “Justeru, dasar-dasar guna tanah perlulah diselaraskan untuk menggalakkan pembangunan bersepadu (integrated development), meningkatkan pelaburan dalam bidang hartanah bagi sektor perekonomian yang berpotensi tinggi serta menangani jurang dasar (policy gaps) serta memperkukuhkan penguatkuasaan ke arah yang lebih berkesan.”

    Menyentuh mengenai, penyediaan infrastruktur, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi berkata kos penyediaan dan pembinaan infrastruktur serta penyelenggaraan aset infrastruktur didapati semakin meningkat daripada masa ke semasa.

    Oleh itu, jelasnya, “Dasar Kementerian ini adalah dengan membuat pengawalan dan penjimatan kos yang lebih efektif melalui integrated infrastructure development dan integrated maintenance management.”

    Dalam Perancangan dan Pengurusan alam sekitar yang mampan, beliau menyatakan bahawa berhubung dengan isu alam sekitar, isu yang dihadapi oleh kementeriannya adalah bagi mengukuhkan perundangan serta penguatkuasaan Akta secara menyeluruh. “Untuk mengatasi perkara ini, penyelarasan dasar yang perlu dilaksanakan adalah mengemaskinikan dasar serta perundangan yang sedia ada bagi memudah cara tindakan penguatkuasaan yang lebih bersepadu dan efektif bersama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.”

    Manakala itu, menyentuh mengenai Pelan Strategik 2018-2023, Kementerian Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi berkata ia merupakan kesinambungan daripada usaha-usaha penyelarasan dasar-dasar Kementerian Pembangunan dalam tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2018 hingga 2023.

    “Hasil daripada usaha ini ialah penerbitan sebuah buku yang digelar Pelan Strategik 2018-2023, Kementerian Pembangunan yang mengandungi garis panduan dan hala tuju bagi projek-projek yang akan dilaksanakan selaras dengan keutamaan serta keperluan pengurusan dan operasi dalam tempoh lima tahun.”

    Meningkatkan produktiviti

    Di antara hasil yang ingin dicapai melalui Pelan Strategik itu, jelasnya, adalah untuk penjanaan dan penambahbaikan pengurusan kewangan daripada perkhidmatan termasuk kutipan hasil dan tunggakan, pertimbangan bagi kesesuaian pengkorporatan atau penswastaan sebahagian daripada perkhidmatan-perkhidmatan Kementerian dan Jabatan, peningkatan efisien dan pengoptimuman sumber tenaga manusia serta aset-aset Kementerian Pembangunan, memantapkan pengurusan dan perkongsian data yang lebih berkesan untuk memanfaatkan data bagi evidence based policy making, menaikkan taraf aplikasi teknologi ke arah penyampaian perkhidmatan pelanggan yang lebih efisien serta usaha dalam penambahbaikan proses dan meningkatkan tadbir urus (institutional governance) bagi meningkatkan kecemerlangan pengurusan serta meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan.

    “Saya penuh berharap dengan adanya Buku Rangka Dasar dan Buku Panduan Pelan Strategik ini akan dapat memberikan panduan dan kefahaman kepada seluruh warga Kementerian Pembangunan dan seterusnya akan diperkukuhkan lagi dari semasa ke semasa, melalui sesi pemberigaan oleh Divisyen PCSP khususnya mengenai pelan perancangan keseluruhan dan peranan yang harus dimainkan oleh setiap pegawai dan kakitangan di Kementerian ini, demi mencapai hasrat dan matlamat serta hala tuju Kementerian Pembangunan dalam masa lima tahun ke hadapan ini.”

    Sementara itu, menyentuh mengenai perlaksanaannya pula, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi berkata adalah amat mustahak bagi semua orang, selaku warga Kementerian Pembangunan untuk mempunyai keyakinan dan pemikiran yang positif, semangat berpasukan dan komitmen yang tinggi, kesepaduan, penyejajaran serta kerjasama yang erat demi mencapai matlamat yang dirancang dengan berkonsepkan whole of nation approach daripada semua pihak, supaya dapat menghasilkan kejayaan yang dihasratkan demi kemajuan dan demi mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Beliau juga berkata bahawa selaras dengan visi Kementerian Pembangunan iaitu ‘Kehidupan Berkualiti, Pembangunan yang Mampan, Negara Makmur”, Kementerian Pembangunan selaku peneraju utama dalam pembangunan infrastruktur fizikal dan sosial negara seperti perumahan negara, prasarana jalan raya, perkhidmatan utiliti air bersih, saliran dan pembetungan, dan juga bertanggungjawab menyediakan dasar, perancangan guna tanah dan kawalan kemajuan tanah dan bangunan serta mempertahankan alam sekitar yang bersih dan terjamin.

    “Oleh itu selaras dengan perkembangan semasa, Kementerian ini juga menyedari betapa pentingnya meningkatkan urus tadbir yang dinamik yang membawa kepada perubahan-perubahan yang baik demi menghasilkan pembangunan negara yang seimbang bagi kesejahteraan rakyat dan negara.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda