Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemberontak isytihar pemerintahan Assad di Syria berakhir

    BEIRUT, 8 DIS – Pemberontak yang dipimpin oleh kumpulan Islamis mengisytiharkan bahawa mereka telah mengambil alih Damsyik dalam serangan kilat hari ini, menyebabkan Presiden Bashar al-Assad melarikan diri dan menamatkan lima dekad pemerintahan Baath di Syria.

    Penduduk di ibu kota Syria dilihat bersorak di jalan-jalan Damsyik, ketika kumpulan pemberontak mengisytiharkan kejatuhan ‘tiran’ Assad dan ‘membebaskan kota Damsyik’.

    Dilaporkan bahawa pemergian presiden berlaku kurang daripada dua minggu selepas kumpulan Islamis, Hayat Tahrir al-Sham (HTS) melancarkan kempen mencabar lebih lima dekad pemerintahan keluarga Assad.

    “Selepas 50 tahun penindasan di bawah pemerintahan Baath, dan 13 tahun jenayah, tirani, dan pengusiran hari ini memaksa kami mengisytiharkan berakhirnya tempoh gelap ini dan bermulanya era baharu untuk Syria,” kata kumpulan pemberontak di Telegram.

    Perdana Menteri Mohammed al-Jalali menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan mana-mana kepimpinan yang dipilih oleh rakyat Syria.

    Ketua Syrian Observatory for Human Rights, Rami Abdel Rahman, memberitahu AFP bahawa “Assad meninggalkan Syria melalui lapangan terbang antarabangsa Damsyik sebelum pasukan tentera dan keselamatan meninggalkan lokasi tersebut.”

    AFP tidak dapat segera mengesahkan laporan itu, yang muncul selepas sumber dekat Hezbollah menyatakan para pejuang daripada sekutu utama Assad telah meninggalkan kedudukan mereka sekitar Damsyik. – AFP

    Rakyat Syria mengibarkan bendera revolusi dan mengibarkan tanda V untuk kemenangan di pusat bandar Homs pada 8 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda