Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemberontak Papua serang bot pengundi

    JAKARTA, 28 Jun – Sekurang-kurangnya seorang terkorban dan dua anggota polis hilang setelah pemberontak Papua yang disyaki telah menembak bot-bot yang membawa pengundi dan polis pulang dari sebuah pusat mengundi, menurut pihak berkuasa Indonesia hari ini.

    Serangan itu merupakan insiden yang ketiga dilakukan oleh kumpulan pemisah dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Namun insiden terbaharu ini berlaku kelmarin ketika berpuluh juta penduduk keluar untuk mengundi dalam pilihan raya tempatan di seluruh kepulauan Indonesia.

    Lelaki bersenjata itu menembak dua bot yang membawa sembilan anggota polis dan penduduk tempatan yang baru saja selesai mengundi di daerah Torere, kata jurucakap polis Papua, Ahmad Musthofa Kamal.

    Ketua daerah Torere ditembak mati dalam serangan itu sementara dua pegawai hilang setelah jatuh ke sungai, tambahnya.

    Masih tidak jelas sama ada polis yang hilang itu telah ditembak sebelum mereka jatuh ke sungai.

    Tujuh anggota polis lain berjaya menyelamatkan diri selepas melompat dari bot terbabit, kata Kamal.

    Polis sedang mencari pegawai dan penembak yang hilang.

    Serangan kelmarin adalah keganasan terbaru yang melanda wilayah timur Indonesia, yang terletak di separuh barat pulau New Guinea dan menjadi tempat pemberontakan pejuang kemerdekaan sejak ia ditakluki oleh Indonesia pada akhir tahun 1960-an.

    Isnin lalu, tiga orang awam terbunuh berikutan insiden tembak menembak yang menyaksikan pemberontak membakar sebuah pesawat kecil yang membawa 15 orang anggota polis di Nduga di pusat wilayah tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda