Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin Afrika Barat adakan pertemuan

    ABUJA, 10 OGOS – Pemimpin dari blok Afrika Barat ECOWAS akan berkumpul hari ini untuk sidang kemuncak tergempar mengenai rampasan kuasa di Niger, selepas ketua tentera negara itu mengingkari amaran untuk mengembalikan jawatan presiden yang dipilih.

    Dua minggu selepas rampasan kuasa yang menggulingkan Mohamed Bazoum, Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS) berkata ia sedang mencari penyelesaian diplomatik tetapi tidak menolak penggunaan kekerasan untuk menyelesaikan krisis itu.

    Keputusan penting dijangka akan diambil daripada perhimpunan di ibu negara Nigeria, Abuja, menurut satu kenyataan daripada organisasi 15 negara pada Selasa.

    Bergelut untuk membendung rampasan kuasa dalam kalangan anggotanya sejak 2020, kumpulan itu memberikan tempoh kepada tentera yang merampas kuasa pada 26 Julai hingga Ahad lalu untuk mengembalikan semula jawatan Bazoum atau menghadapi tindakan kekerasan.

    Tetapi pemimpin rampasan kuasa tetap menentang dan tempoh masa berlalu tanpa sebarang tindakan.

    Mohamed Toumba, salah seorang askar yang menggulingkan Presiden Nigeria, Mohamed Bazoum, berucap kepada penyokong junta pemerintah Niger di Niamey, Niger pada 6 Ogos. – AP

    Dalam tentangan terbaharu mereka terhadap tekanan antarabangsa, pemimpin-pemimpin tentera menamakan kerajaan baharu, menurut dekri yang diumumkan di televisyen nasional, hari ini.

    Perdana Menteri, Ali Mahaman Lamine Zeine akan mengetuai pentadbiran 21 anggota, dengan jeneral-jeneral dari majlis pemerintahan tentera baharu mengetuai Kementerian Pertahanan dan Dalam Negeri.

    Kemungkinan campur tangan ketenteraan di Niger, sebuah negara yang bergolak dan tergolong dalam kalangan termiskin di dunia, telah mencetuskan perdebatan dalam ECOWAS dan amaran daripada negara jiran, Algeria dan Rusia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda