Wednesday, October 30, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin Balkan Barat adakan pertemuan

    ALBANIA, 29 FEB – Pemimpin negara-negara Balkan Barat bertemu hari ini dalam usaha untuk meneruskan rancangan Kesatuan Eropah (EU) yang menjanjikan bantuan kewangan dan jalan yang lebih pantas untuk menjadi ahli sebagai tukaran kepada pembaharuan ekonomi.

    Rancangan Brussels memerlukan 6 bilion euro (kira-kira AS$6.5 bilion) untuk dihantar ke negeri-negeri Balkan dalam tempoh tiga tahun akan datang dalam usaha mengembangkan ekonomi rantau ini dalam dekad akan datang dan mempercepatkan usaha mereka untuk menyertai blok itu.

    Bantuan itu tertakluk kepada pembaharuan yang akan membawa ekonomi mereka selaras dengan peraturan EU.

    Pemimpin Balkan telah mengalu-alukan rancangan itu, tetapi agenda reformasi adalah satu cabaran untuk dilaksanakan.

    Perdana Menteri Albania, Edi Rama, yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak di Tirana, menyebut rancangan pertumbuhan baharu itu sebagai ‘hasil yang benar-benar memberangsangkan daripada pertukaran pandangan yang mesra dan terbuka’.

    “Peluang baharu rancangan luar biasa ini bukan sahaja mewakili pengiktirafan daripada EU terhadap usaha kami selama sedekad untuk membina masa depan bersama meskipun berdepan krisis masa lalu, tetapi juga mencabar kami untuk menunjukkan kesediaan kami untuk masa depan bersama Eropah,” katanya dalam ucapan perasmian.

    Enam negara di rantau itu iaitu Albania, Bosnia, Kosovo, Montenegro, Macedonia Utara dan Serbia, berada pada peringkat berbeza dalam permohonan keahlian mereka, tetapi penduduk kecewa dengan proses yang perlahan. Croatia merupakan negara anggota EU terakhir yang diterima pada tahun 2013.

    Pesuruhjaya Pembesaran EU, Oliver Varhelyi berkata Suruhanjaya Eropah berhasrat mengurangkan separuh masa pelaksanaan pelan baharu itu. – AP

    Edi Rama (kiri), mengalu-alukan Pesuruhjaya Eropah bagi Kejiranan dan Pembesaran, Oliver Varhelyi sebelum sidang kemuncak di Tirana, Albania pada 29 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda