Thursday, April 24, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin dunia akan hadir pengebumian Paus Francis

    ROM, 23 APRIL – Pemimpin negara kuasa besar dunia, termasuk Austria, Belanda dan Sepanyol dijangka menghadiri upacara pengebumian Paus Francis yang akan diadakan pada 26 April di Basilika St. Peter, Vatican City.

    Menurut penyiar Austria OE24, Presiden Austria Alexander Van der Bellen dan Canselor Christian Stocker akan hadir pada upacara tersebut. Perdana Menteri Belanda Dick Schoof dan Menteri Luar Caspar Veldkamp juga dijadual berangkat ke Rom pada Sabtu bagi menghadiri pengebumian Paus Francis, lapor NOS seperti yang dipetik oleh Sputnik/RIA Novosti.

    RTVE melaporkan Raja Felipe VI dan Permaisuri Letizia akan mengetuai delegasi Sepanyol pada Sabtu. Bagaimanapun, kerajaan Sepanyol masih belum mengumumkan senarai penuh anggota delegasi tersebut.

    “Pada Sabtu, saya akan mengambil bahagian dalam penghormatan terakhir di Vatican dan, bagi pihak seluruh Slovakia, saya akan memberikan penghormatan kepada keperibadian luar biasa mendiang yang meninggalkan kesan mendalam kepada saya dan jutaan individu lain,” kata Presiden Slovakia Peter Pellegrini menerusi media sosial.

    Presiden Hungary Tamas Sulyok juga akan menghadiri upacara pengebumian itu, menurut kenyataan pejabatnya. Sementara itu, Menteri Luar Hungary Peter Szijjarto, ketika menjawab pertanyaan media tempatan, memaklumkan bahawa beliau “tidak dapat mengesahkan penyertaan anggota kerajaan Hungary”, khususnya Perdana Menteri Viktor Orban, dalam majlis penghormatan tersebut dan menambah bahawa “keputusan akan diumumkan sebaik sahaja dibuat”.

    Presiden Argentina Javier Milei akan berlepas ke Rom pada malam Jumaat bersama delegasi kerajaan berpangkat tinggi untuk menghadiri pengebumian Paus Francis, menurut kenyataan pentadbirannya. Presiden akan diiringi oleh Menteri Luar Gerardo Werthein, Menteri Keselamatan Patricia Bullrich, Menteri Modal Insan Sandra Pettovello, Ketua Kabinet Guillermo Francos, jurucakap kerajaan Manuel Adorni dan Ketua Staf Karina Milei. –Bernama

    Jenazah Paus Francis diletakkan di St. Peter, pada 23 April. –AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda