Sunday, October 6, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin Kemboja adakan perbincangan di Vietnam

    HANOI, 11 DIS – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet bertemu dengan rakan sejawatannya dari Vietnam hari ini semasa lawatan rasmi untuk meningkatkan hubungan antara negara jiran Asia Tenggara yang rapat tetapi memiliki sejarah yang rumit.

    Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Hun Manet menghadiri upacara alu-aluan di ibu negara, Hanoi, di mana mereka memeriksa kawalan kehormatan sebelum mengadakan perbincangan yang menurut pegawai Kemboja akan meliputi kerjasama dalam bidang pendidikan, perdagangan, keselamatan, pertahanan dan hal-hal berkaitan sempadan.

    Kedua-dua pemimpin itu turut menyaksikan penandatanganan beberapa perjanjian kerjasama dalam perdagangan dan sains.

    Perdagangan dua hala antara Vietnam dan Kemboja mencecah AS$10.57 bilion pada 2022 dan AS$7.1 bilion dalam 10 bulan pertama 2023, dengan unjuran berjumlah AS$9 bilion menjelang akhir tahun, menurut agensi berita Vietnam.

    Vietnam merupakan rakan dagang ketiga terbesar Kemboja.

    Hun Manet juga dijadualkan bertemu dengan Nguyen Phu Trong, yang sebagai setiausaha agung Parti Komunis Vietnam merupakan pemimpin tertinggi negara itu, Presiden Vo Van Thuong dan Ketua Dewan Negara, Vuong Dinh Hue.

    Ia merupakan lawatan pertama Hun Manet ke Vietnam sejak beliau menjadi perdana menteri pada Ogos, menggantikan bapanya Hun Sen, yang mengekalkan hubungan rapat dengan kepimpinan komunis Vietnam semasa pemerintahannya selama 38 tahun.

    Bagaimanapun, ramai rakyat Kemboja memendam rasa benci terhadap Vietnam yang lebih besar dan kaya, yang disyaki oleh mereka ingin mengambil alih wilayah Kemboja.

    Beberapa ahli politik Kemboja mengetengahkan isu itu, dan prasangka terhadap penduduk etnik Vietnam adalah berleluasa. – AP

    Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh (kiri) dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet memeriksa kawalan kehormatan di Hanoi, Vietnam pada 11 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda