Sunday, September 29, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin Korea S, China dan Jepun adakan rundingan tiga hala

    SEOUL, 23 MEI – Pemimpin Korea Selatan, China dan Jepun akan bertemu minggu depan di Seoul untuk rundingan tiga hala pertama mereka dalam tempoh lebih empat tahun, kata pejabat presiden Korea Selatan, hari ini.

    Sidang kemuncak tiga hala antara Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, Perdana Menteri China, Li Qiang dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan berlangsung di Seoul pada Isnin, kata pejabat presiden Yoon.

    Ketiga-tiga pemimpin dijadualkan mengadakan perbincangan dua hala antara mereka pada Ahad lalu, menurut pejabat presiden Korea Selatan.

    Sejak sidang kemuncak tiga hala pertama mereka pada tahun 2008, ketiga-tiga negara Asia itu sepatutnya mengadakan pertemuan seumpama itu setiap tahun.

    Namun, sidang kemuncak tersebut telah ditangguhkan sejak kali terakhir diadakan pada Disember 2019 di China.

    Usaha untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara Asia sering menghadapi halangan kerana pelbagai isu, termasuk pertikaian bersejarah yang berpunca daripada pencerobohan zaman perang Jepun dan persaingan strategik antara China dan Amerika Syarikat (AS).

    Hubungan antara Korea Selatan dan Jepun merosot teruk disebabkan oleh isu-isu yang berpunca daripada penjajahan Jepun 1910 hingga 1945 di Semenanjung Korea.

    Namun, hubungan mereka semakin bertambah baik sejak 2023 apabila kedua-dua negara mengambil beberapa langkah besar untuk melangkaui sejarah itu dan meningkatkan kerjasama ketika menghadapi program nuklear Korea Utara yang semakin maju serta cabaran bersama yang lain. – AP

    Gambar gabungan menunjukkan Presiden Korea Selatan (kiri), Perdana Menteri China, Li Qiang (tengah) dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda