Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penangguhan kebenaran rentas sempadan dilanjutkan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan lanjutan penangguhan kebenaran rentas sempadan selama 14 hari lagi bermula 23 April hingga 7 Mei depan.

    Ini termasuk penangguhan kebenaran kemasukan warganegara asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi Negara Brunei Darussalam, kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam.

    JPM dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, menjelaskan bahawa kemasukan dan perjalanan transit melalui Negara Brunei Darussalam hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan-kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam, dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara yang berkenaan, dengan dikenakan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia ada, bagi tujuan urusan rasmi kerajaan, persekolahan; perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan (seperti ambulans, polis dan tentera); dan transport operator yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam bagi penghantaran bekalan import yang penting.

    Penangguhan sementara kebenaran juga adalah bagi pengambilan dan penghantaran barangan milik individu di lokasi-lokasi khusus di perkarangan sempadan (checkpoints) yang dibuat oleh runners berdaftar di Negara Brunei Darussalam serta kebenaran keluar dan masuk negera secara ulang alik (commuters) melalui pos-pos kawalan darat mahupun laut bagi tujuan pekerjaan.

    Kenyataan menekankan bahawa syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu Hal Ehwal Rentas Sempadan dari semasa ke semasa.

    Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, orang ramai boleh menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda