Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencemaran di tapak pelupusan jejaskan tahap kesihatan

    KOLOMNA – Bau kurang menyenangkan jelas terhidu oleh Olga Yevseyeva ketika dia berjalan menuju ke kedai yang terletak kira-kira beberapa batu jauhnya dari tempat pembuangan sampah di mana ia secara tidak langsung turut menjejaskan moodnya.

    “Bau tersebut memang telah memberikan rasa kurang senang dan saya merasakan sesuatu wajar dilakukan untuk menangani masalah tersebut agar ia tidak berlarutan,” jelasnya ketika mengimbau kembali pengalamannya bersiar di bandar Kolomna yang terletak kira-kira 100 km dari Selatan Moscow.

    Walaupun tidak aktif berkempen dalam acara politik namun wanita berusia 34 tahun itu turut menyertai perkumpulan yang disertai oleh ratusan penduduk lain untuk berdiri di tengah jalan pada beberapa minggu lalu untuk menyekat laluan trak sampah daripada terus menghantar sampah ke tapak pelupusan tersebut.

    Malah ribuan aktivitis juga telah mengambil bahagian dalam demonstrasi yang sama di kebanyakan bandar di sekitar ibu negara Rusia dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini yang mengadu bahawa tempat pembuangan sampah tersebut telah dijadikan sebagai tempat longgokan sampah di Moscow.

    Mereka turut menjelaskan bahawa gas busuk dari tempat pembuangan sampah tersebut secara tidak langsung telah menimbulkan masalah pernafasan, ruam kulit dan penyakit lain sekali gus turut menjejaskan suasana ketenteraman di rumah.

    Keadaan pembuangan sampah di tapak pelupusan secara berlebihan dan tidak teratur telah menjejaskan tahap kesihatan penduduk setempat. – AP

    Seorang lelaki telah ditahan setelah menghalakan sebilah kapak dan seseorang lagi telah melepaskan tembakan ketika kereta sampah telah mula memasuki kawasan tapak pelupusan tersebut. Malah lebih teruk lagi apabila di antara mereka yang turut merancang untuk membakar kawasan tersebut.

    Yevseyeva dan beberapa individu lain telah ditahan berikutan daripada tindakan protes di Kolomna. Lebih teruk lagi, apabila dia turut kehilangan pekerjaannya di kedai langsir di bandar tersebut.

    “Sejujurnya, saya memang berasa sangat terkejut dengan bagaimana cara pihak berkuasa di bandar ini beroperasi kerana menganggap bahawa pihak berkuasa akan menyokong tindakan yang kami lakukan namun ternyata ia sebaliknya,” jelasnya.

    Berada di tahap kecemasan

    Pada musim panas lalu, Presiden Vladimir Putin telah menerima aduan daripada penduduk Balashikha, sebuah bandar berdekatan di Moscow. Mereka menjelaskan bahawa tapak pelupusan tersebut adalah yang terbesar di rantau ibu negara itu yang setentunya boleh mendatangkan banyak risiko buruk terhadap kesihatan.

    Dari situ, Putin telah mengarahkan untuk menutup kawasan itu menjelang akhir tahun ini.

    Moscow memiliki hampir 12 juta penduduk yang secara tidak langsung menyumbang sebanyak 20 peratus sampah di seluruh Rusia namun pengurusan sampahnya dikatakan masih berada dalam keadaan yang kurang teratur.

    Salah satu tapak itu adalah berdekatan dengan Volokolamsk, sebuah bandar abad pertengahan yang memiliki binaan gereja putih yang sangat menarik di barat Moscow namun kira-kira 110 kilometer daripada kawasan tersebut adalah sebuah tapak pelupusan sampah dikenali sebagai Yadrovo.

    Tatkala kawasan Yadrovo mula berada dalam keadaan penuh dan sampah organik secara perlahan-lahan akan merosakkan lapisan atas tanah, campuran hidrogen sulfida dan gas metana pula menyelubungi kawasan bandar pada musim sejuk.

    Dari situ, ramai penduduk mula melakukan aduan bahawa mereka berhadapan dengan masalah kesihatan seperti ruam, sakit kepala dan batuk terhadap Datuk Bandar, Pyotr Lazarev. Namun Datuk Bandar tersebut menjelaskan bahawa dirinya juga tidak memiliki sebarang kuasa dan tambahan lagi pegawai kesihatan daerah juga telah meyakinkan bahawa ia tidak memiliki sebarang risiko.

    Tatyana Kunyakina memperlihatkan tahap kesihatannya semakin terjejas berikutan daripada kesan pengurusan pembuangan sampah yang tidak teratur. – AP
    Pekerja di hospital di Volokolamsk juga kelihatan sibuk melayan orang ramai yang berhasrat untuk mendapatkan khidmat rawatan kesan daripada pembuangan sampah yang tidak teratur. – AP

    Hakikatnya, bau busuk tersebut secara tidak langsung sering mengganggu waktu tidur Tatyana Kunyakina malah dia juga mengalami batuk berpanjangan selama dua bulan.

    Pada 20 Mac lalu, anaknya juga turut mengalami demam panas, batuk dan mata merah kesan daripada persekitaran yang kotor.

    Keesokan harinya, lebih daripada 50 orang kanak-kanak telah dibawa ke Hospital Volokolamsk dan 20 lagi kanak-kanak telah ditahan berikutan daripada kes yang sama sekali gus mengundang kemarahan dalam kalangan ibu bapa.

    “Saya melihat terdapat ambulans di hadapan kawasan sekolah pada sebelah pagi dan merasakan memang terdapat sesuatu perkara berlaku terhadap kesihatan kanak-kanak di sekolah itu. Melihat keadaan tersebut memang agak menakutkan terutama apabila melihat sekumpulan wanita juga kelihatan menangis,” jelas Lazarev.

    “Ternyata seorang kanak-kanak perempuan kelihatan berada dalam keadaan sesak nafas dan video rakaman yang memaparkan detik mendebarkan itu juga turut dikongsikan,” tambah Lazarev.

    Dengan itu, pihak berkuasa telah mengisytiharkan keadaan kecemasan sementara dengan mengatakan bahawa tapak pelupusan itu memiliki tahap hidrogen sulfida yang sangat tinggi. Sebuah syarikat dari Belanda telah diupah untuk mengeluarkan gas-gas beracun dari bawah tanah.

    “Situasi di Volokolamsk kelihatan normal selama beberapa tahun namun hakikatnya ia berada pada tahap kecemasan,” jelas Ketua Greenpeace Rusia, Alexei Kiselyov.

    Penduduk di Kolomna juga telah memasang kamera litar tertutup di tapak pelupusan tersebut dan mendapati sekitar 150 ke 200 trak yang menghantar sampah ke kawasan tersebut pada setiap hari.

    Kunyakina, seorang pelayan di Volokolamsk mengatakan bahawa tangan dan wajahnya dipenuhi dengan ruam dan bengkak pada akhir Mei lalu.

    Menteri Alam Sekitar Rusia, Sergei Donskoy menyifatkan situasi di Volokolamsk sebagai mengerikan dan menambah bahawa ia setentunya merupakan satu perkara yang agak mustahil untuk menutup ke semua tapak pelupusan.

    Kebanyakan aktivis juga mula melontarkan kemarahan terhadap sikap penduduk di Moscow yang dipercayai gemar membuang sampah berbanding aktiviti kitar semula. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda