Pendakwa raya Australia menggugurkan kes jenayah yang berpotensi terhadap pelakon Amerika Amber Heard berhubung dakwaan dia berbohong kepada mahkamah tentang bagaimana anjing Yorkshire terrier Pistol dan Boo di seludup ke Australia lapan tahun lalu, kata kerajaan hari ini.
Heard dan suaminya Johnny Depp ketika itu terlibat dalam kontroversi biosekuriti berprofil tinggi pada 2015 apabila dia membawa haiwan peliharaannya ke Gold Coast Australia, tempat Depp menjalani penggambaran filem kelima dalam siri Pirates of the Caribbean.
Jabatan Pertanian, Perikanan, dan Kehutanan Australia, sebuah badan pemantau biosekuriti, menyatakan Pengarah Pendakwaan Umum Komanwel memutuskan untuk tidak mendakwa Heard yang berusia 37 tahun atas tuduhan berpura-pura tidak tahu tentang peraturan kuarantin yang ketat di negara ini.
“Tindakan pendakwaan tidak akan diambil terhadap … Heard berhubung dakwaan yang berkaitan dengan hukumannya kerana mengimport dua ekor anjing secara haram,” kata jabatan itu dalam kenyataan.
Jabatan itu telah menyiasat percanggahan antara apa yang peguamnya memberitahu mahkamah Australia pada 2016 – apabila dia mengaku menyeludup anjing-anjing itu dan keterangan yang diberikan di mahkamah London pada 2020 apabila Depp, kini 60, menyaman akhbar The Sun untuk fitnah atas dakwaan keganasan rumah tangga terhadap bekas isterinya.
Heard telah mengaku bersalah pada tahun 2016 di Mahkamah Majistret Southport, Australia, atas tuduhan memberikan dokumen imigresen palsu apabila pasangan itu membawa anjing-anjing mereka ke Australia dalam pesawat jet yang dihantar pada setahun sebelumnya. – AP