Thursday, January 2, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendeta diserang jerung ketika memancing

    SYDNEY, 29 DIS – Seorang pendeta berusia 40 tahun maut selepas diserang jerung ketika memancing bersama keluarganya di perairan Terumbu Karang Besar Australia, menurut pihak berkuasa.

    Mangsa, Luke Walford, diserang oleh seekor jerung yang menggigit lehernya pada petang kelmarin berhampiran Pulau Humpy, di pantai timur negara itu.

    “Lelaki tersebut sedang memancing bersama ahli keluarganya apabila dia diserang oleh seekor jerung,” kata kenyataan polis negeri Queensland. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian leher yang mengancam nyawa dan meninggal dunia kira-kira sejam setengah kemudian, tambah polis. Laporan insiden tersebut akan disediakan untuk pihak koroner.

    Jurucakap ambulans Queensland memberitahu AFP hari ini bahawa mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat ‘kecederaan serius pada bahagian leher.’

    Pulau Humpy, yang terletak dalam Taman Negara Kepulauan Keppel Bay di kawasan Terumbu Karang Besar, merupakan destinasi popular untuk aktiviti perkhemahan, menyelam dan snorkeling.

    Pemimpin komuniti turut menyuarakan rasa dukacita atas kehilangan Walford, seorang pendeta belia di Gereja Cathedral of Praise, Rockhampton, Queensland Tengah.

    Walford, yang pernah memuat naik gambar memakai pakaian selam semasa perjalanan memancing sebelum ini, dipercayai sedang melakukan aktiviti memanah ikan ketika serangan berlaku.

    “Kami semua masih dalam keadaan terkejut,” kata wakil Rockhampton di Parlimen Negeri Queensland, Donna Kirkland. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda