Thursday, April 24, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk kampung dipelawa isi kekosongan jawatan

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 2 Mac – Jabatan Daerah Belait pada masa ini sedang membukakan pencalonan bagi mengisikan jawatan kosong penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Belait.

    Iklan bagi kekosongan tersebut yang telah disiarkan sejak 14 Februari lalu selama sebulan dan akan berakhir pada 14 Mac ini, mempelawa penduduk yang bermastautin di kampung berkenaan untuk menghadapkan pencalonan dengan mengisikan borang yang telah disediakan dan dihantar semula dengan dua orang pencadang dan seorang penyokong, kepada Unit Pentadbiran Bahagian Institut Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Jabatan Daerah Belait, di sini.

    Antara jawatan yang ditawarkan ialah penghulu mukim Tingkat III bagi Mukim Kuala Belait, Mukim Seria, Mukim Sukang, Mukim Bukit Sawat, Mukim Labi dan Mukim Melilas.

    Selain itu, jawatan sebagai ketua-ketua kampung Tingkat I, Tingkat II dan Tingkat III, bagi Kampung Mumong A, Kampung Mumong B, Kampung Pandan A, Kampung Pandan B, Kampung Pandan C, Kampung Sungai Teraban, Kampung Pekan Seria, Kampung Rancangan Perumahan Negara Lorong Tengah, Kampung Sungai Liang, Kampung Lumut I, Kampung Lumut II, Kampung Rancangan Perumahan Negara Kampung Lumut Mukim Liang, Kampung Bukit Sawat dan Kampung Merangking.

    Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II Jabatan Daerah Belait, Awang Mohammad Fadzil bin Mohd Yanie semasa ditemui memberitahu, permohonan jawatan-jawatan tersebut dibukakan kepada orang ramai untuk memohon dan penduduk kampung juga dibukakan peluang untuk memilih bakal pemimpin mereka dengan mengisikan borang dan menghantarnya.

    Beliau turut menyeru penduduk kampung untuk mengambil bahagian mencadangkan dan mencalonkan bakal pemimpin mereka dan semasa proses pengundian nanti, penduduk kampung juga diseru supaya akan dapat datang beramai-ramai untuk menjayakannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda