Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk tinjau kerosakan selepas gempa kuat

    SOMA, JEPUN, 17 MAC – Penduduk di timur laut Jepun mengadakan kempen kebersihan dan menilai kemusnahan hari ini selepas gempa bumi berukuran 7.4 magnitud menggelincirkan kereta api laju, mencetuskan rekahan di lebuh raya dan memutuskan bekalan elektrik kepada lebih dua juta buah rumah.

    Seorang meninggal dunia akibat gempa bumi semalaman, kata jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno, namun jumlah itu belum lagi dimuktamadkan selepas dua lagi korban jiwa dikesan tidak dikaitkan dengan gegaran dan satu lagi masih dalam siasatan.

    Matsuno berkata 161 orang mengalami kecederaan selepas gempa bumi berlaku di dasar laut di luar pantai Fukushima – sebuah rantau yang pernah dibadai gempa bumi 2011 dan menyebabkan bencana buklear – menggegarkan sebahagian besar timur Jepun, termasuk bandar Tokyo.

    Amaran tsunami dengan gelombang setinggi 3.28 kaki di sebahagian timur Jepun telah dibatalkan pada awal hari ini, selepas pihak berkuasa merekodkan paras air meningkat 30sm lebih tinggi daripada biasa di beberapa kawasan.

    Beberapa gegaran kecil terus melanda rantau itu, menegangkan urat beberapa hari selepas Jepun meraikan ulang tahun gempa bumi ke-11, bencana tsunami dan nuklear di kawasan itu.

    Matsuno berkata petang ini sekitar 2,800 buah rumah di timur laut masih lagi mengalami gangguan bekalan elektrik, namun kebanyakan sudah dipulihkan lewat hari ini.

    Sekitar 8,700 buah rumah tidak mempunyai akses air manakala tentera mengerahkan pasukan bantuan bencana untuk membekalkan air ke wilayah Fukushima dan Miyagi, tambahnya.

    Di tempat lain, beberapa kemusnahan telah dilaporkan termasuk tembok batu di tapak Istana Aoba di Sendai, dan sebuah kereta laju Shinkansen tergelincir di utara bandar Fukushima.

    Tidak ada kecederaan dilaporkan namun 75 penumpang dan tiga kakitangan di dalamnya terperangkap selama empat jam sebelum dapat keluar dari kereta api itu. – AFP

    Pekerja kedai melintasi runtuhan siling di sebuah pasar raya di Shiroishi, wilayah Miyago pada 17 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda