Saturday, January 4, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penerbangan Hawaiian Airlines patah balik selepas asap masuk kokpit

    SAN FRANCISCO, 1 JAN – Sebuah penerbangan Hawaiian Airlines menuju ke Honolulu dari Seattle terpaksa berpatah balik sejurus sebaik berlepas pada Isnin lalu kerana kru melaporkan terdapat asap di dalam kokpit pesawat Airbus A330, lapor Xinhua yang memetik The Seattle Times kelmarin.

    Pada kira-kira jam 1 tengah hari Isnin Waktu Piawai Pasifik, Penerbangan 21 Hawaiian Airlines mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma, menurut laman web Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA). Agensi itu sedang menyiasat insiden berkenaan.

    Hawaiian Airlines memaklumkan bahawa asap itu tidak kelihatan dan menggambarkannya sebagai wap.

    “Kapten mengisytiharkan kecemasan untuk mendapatkan keutamaan pendaratan dan pesawat Airbus A330 mendarat di SEA tanpa insiden,” kata jurucakap Hawaiian Airlines Marissa Villegas, dalam satu kenyataan.

    “Sebagai langkah berjaga-jaga, pasukan perubatan dan bomba berada di pintu pesawat dan kesemua 273 penumpang serta 10 kru berjaya keluar dengan selamat.”

    Penerbangan 21 berlepas semula pada pagi kelmarin menggunakan pesawat baharu, tambah Villegas.

    Alaska Air Group yang berpangkalan di SeaTac menyelesaikan pengambilalihan Hawaiian Airlines pada September. Kedua-dua syarikat penerbangan kini dalam proses menggabungkan operasi mereka, menurut laporan The Seattle Times.– Bernama/Xinhua 

    Penerbangan Hawaiian Airlines terpaksa berpatah balik. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda