Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Pengambilan ketiga program perantisan i-Ready telah bermula hari ini, yang akan berjalan selama 18 bulan sahaja berbanding pengambilan sebelumnya iaitu 36 bulan.
Bagi pengambilan pertama dan kedua, pihak kerajaan membiayai elaun perantis sebanyak $800 sebulan dan syarikat atau sektor awam yang mengambil perantis berkenaan tidak dikehendaki untuk memberikan elaun tambahan selama tempoh perantisan tersebut.
Bagi pengambilan ketiga, pihak kerajaan akan membiayai elaun mengikut peringkat kelulusan perantis, termasuk caruman TAP dan SCP syarikat, bagaimanapun pihak syarikat dikehendaki untuk memberikan elaun tambahan bermula bulan ke-11 tempoh perantisan mengikut jumlah kadar yang telah ditetapkan.
Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat juga dialu-alukan dan sama sekali tidak dilarang untuk memberikan elaun tambahan berkenaan kepada para perantis yang diambil sebelum bulan ke-11 itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JobCentre Brunei (JCB), elaun bagi perantis yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dan ke atas adalah $800 manakala tambahan elaun minimum sebulan yang diberikan oleh syarikat ialah $400.
Bagi perantis yang berkelulusan Diploma (Level 5) pula menerima $600 daripada kerajaan dan tambahan elaun minimum $300 daripada syarikat manakala itu, bagi perantis yang mempunyai kelulusan teknikal dan vokasional pula akan menerima $400 daripada kerajaan dan tambahan elaun minimum $300 daripada syarikat.
Setiap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) hanya akan diberikan dua orang perantis, namun ia juga tertakluk kepada syarikat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Jika syarikat tersebut menghadapkan perjanjian bertulis bagi memberikan Conditional Offer of Employment (COE), tertakluk kepada proses penilaian, pertimbangan boleh diberikan bagi syarikat tersebut untuk mengambil lebih daripada dua orang perantis.
Walau bagaimanapun, syarikat besar digalakkan untuk mengambil pekerja tempatan secara langsung (direct hire) di mana pihak JCB akan dapat membantu dalam proses pengambilan anak-anak tempatan.
Kenyataan menjelaskan, Program i-Ready diperkenalkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui JCB sebagai usaha untuk meningkatkan employability dan marketability anak tempatan melalui latihan sambil bekerja serta pengalaman yang diperolehi semasa bekerja.
Program berkenaan khusus dibukakan kepada rakyat dan penduduk tetap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berdaftar di JCB dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Proses penilaian dan kriteria permohonan program perantisan termasuklah kelengkapan borang dan dokumen penting (seperti pelan perniagaan, komposisi tenaga kerja, gambar pekerjaan) yang dihadapkan oleh pihak syarikat; perjanjian antara syarikat dan pihak JCB mengenai pemberian elaun tambahan dan selesai mengadakan lawatan ke syarikat-syarikat yang memohon.
Tertakluk kepada pihak syarikat memenuhi kesemua syarat yang ditetapkan, pihak JCB akan dapat memberikan maklum balas mengenai status permohonan dalam tempoh 14 hari bekerja.
Namun, jika permohonan dari syarikat memenuhi kesemua pensyaratan dan menghadapkan perjanjian bertulis bagi memberikan COE, permohonan syarikat tersebut akan diberikan keutamaan.
Untuk proses permohonan, syarikat hendaklah mengisikan borang permohonan dan menghadapkan borang yang lengkap serta dokumen-dokumen penting ke iready.demand@jpm.gov.bn. Borang permohonan bolehlah dimuat turun melalui laman sesawang www.jobcentrebrunei.gov.bn.
Selain itu, syarikat juga boleh menghubungi terus hotline i-Ready di talian 2444100 EXT 200 (semasa waktu bekerja) atau hotline JCB di talian 8239933.