KANGAR, 11 JAN – Seorang pengasuh wanita warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran seorang anak damit lelaki secara rahsia, pada 21 Disember lepas.
Tertuduh Yuni Widya Sari, 28, didapati menyembunyikan kelahiran dengan cara mengebumikan mayat anak damit lelaki itu, yang dilahirkannya secara rahsia di alamat 12A Jalan Mutiara Jaya, Taman Mutiara di sini lebih kurang pukul 6:30 pagi.
Dia yang berasal dari Medan, Indonesia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim, didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan yang dilaksanakan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali memohon penangguhan mahkamah untuk fakta kes dan hukuman, kerana laporan post-mortem dan DNA yang masih belum selesai. Mahkamah menetapkan 15 Februari depan untuk fakta kes dan hukuman terhadap tertuduh. – Bernama