NICOSIA, 16 OGOS – Penggalian yang diketuai oleh Sweden di Cyprus telah menemui banyak artifak yang menunjukkan sebuah bandar pelabuhan purba di Larnaca di pantai selatan adalah pusat perdagangan utama Zaman Gangsa di rantau itu, kata seorang pegawai, hari ini.
“Kekayaan bandar tersebut nampaknya berdasarkan pengeluaran tembaga dan perdagangan dengan budaya-budaya yang dekat dan jauh,” kata pemangku pengarah Jabatan Antikuiti Cyprus, Giorgos Georgiou.
“Berdasarkan hadiah pengebumian yang kaya, makam itu adalah milik keluarga kelas pemerintah kota itu, yang pastinya terlibat dalam eksport tembaga dan perdagangan antara budaya,” tambahnya dalam jawapan bertulis kepada AFP.
Beliau berkata tapak penggalian di Dromolaxia-Vyzakia adalah penempatan pelabuhan Zaman Gangsa Akhir, yang dianggarkan oleh beberapa pihak berkuasa berkeluasan sekurang-kurangnya 25 hektar.
Penempatan itu, yang berkembang pesat dari 1100 hingga 1600 sebelum Masihi (SM), terletak di sepanjang pantai tasik garam Larnaca di Hala Sultan Tekke.
Bulan lalu, Universiti Gothenburg berkata, mereka baru-baru ini menemui makam di luar metropolis perdagangan Zaman Gangsa.
Universiti tersebut mengatakan makam tersebut adalah antara yang terkaya pernah ditemui di rantau Mediterranean dan artifak makam yang berharga menunjukkan penghuni mereka memerintah bandar itu, yang merupakan pusat perdagangan tembaga pada 1300-1500 SM.
“Berdasarkan kekayaan pada harta dalam makam, adalah satu anggapan yang munasabah bahawa ia adalah makam diraja,” kata Peter Fischer, seorang profesor arkeologi dan ketua ekspedisi. – AFP