Oleh Amri HTZ –
Menyebut tentang senarai barangan untuk belian, setiap individu semestinya menyetujui kepentingannya dalam perancangan perbelanjaan.
Mencatatkan keperluan menggunakan teknologi seperti aplikasi yang mudah diakses melalui telefon bimbit, ia akan mempercepat waktu bagi mendapatkan barangan selain mengelakkan sebarang pembelian yang tidak dirancang.
Walaupun sedemikian, masih ramai yang gemar menggunakan kertas nota untuk membuat catatan yang turut mudah bagi disampaikan kepada sesiapa sahaja untuk membuat pembelian.
SEDIA BARANG DIPERLUKAN
Projek ini akan mereka penggantung khusus untuk gelungan kertas nota yang diperbuat daripada papan lapis. Untuk mengikutinya, awda perlu menyediakan awal barangan diperlukan seperti:
Papan lapis 10mm
Tali pengikat kulit
Tali bersama manik
Eye hook
Skru
Lakuer kayu
Mata hack saw mini
Magnet bulat
Cangkuk rantai
Dowel pin
BENTUK PAPAN GUNA GERGAJI
Ukuran papan lapis yang diperlukan dalam projek ini ialah 10cm x 30cm. Ukur dan tandakan permukaan papan sebagai panduan untuk proses pemotongan. Pada salah satu bahagian hujung kayu, potong dengan bentuk ‘V’ dengan kedudukan 30 darjah. (Gambar 2)
Permukaan kayu yang kasar terhasil daripada proses pemotongan kemudiannya akan digosok menggunakan kertas pasir untuk menghalusinya. Selain menggunakan mesin seperti orbital sander atau finishing sander, ia juga boleh dilakukan secara manual. Kertas pasir berukuran 80 grit akan digunakan pada langkah ini. (Gambar 3)
Setelah menghalusi permukaan kayu, bersihkan daripada sebarang habuk kayu sebagai persediaan untuk proses mengecat. Lakuer kayu tersedia akan disapukan menggunakan berus pada keseluruhan permukaan kayu. Sapu nipis cat untuk lapisan pertama dan biarkan ia mengering sebelum menyapukan lapisan kedua. (Gambar 4)
Tali yang diperbuat daripada kulit akan dipotongkan dan ditetapkan kedudukannya pada bahagian atas (belakang) rekaan berfungsi sebagai ruang untuk meletakkan pen. Selain kulit asli, helaian getah yang fleksibel juga boleh digunakan seperti tiub basikal. Potong material dengan panjang 10cm untuk dua bahagian dan tetapkan kedudukannya menggunakan stapler. (Gambar 5)
Untuk mengantungkan gelungan kertas nanti, bahagian sisi (atas) rekaan akan dimasukkan dengan eye hook mini. Cangkuk kecil berbentuk bulat tersebut berfungsi sebagai alat untuk memudahkan tali penggantung gelungan kertas dimasukkan atau ditanggalkan melalui cangkuk rantai berbentuk ‘S’. tetapkan kedudukannya pada jarak 2cm daripada bahagian hujung papan bahagian atas. (Gambar 6)
Untuk bahagian penggantung gelungan kertas, tali dengan panjang 10cm akan dipotongkan untuk menempatkan manik dan dowel pin. Bagi memudahkan hujung tali dimasukkan ke dalam lubang manik, jarum besar atau dawai akan diikatkan pada bahagian hujung tali. (Gambar 7)
Pastikan jumlah manik yang digunakan sekata pada kedua-dua bahagian tali penggantung. Dowel pin terbuat daripada kayu berukuran 9cm panjang dan berdiameter 1cm akan digunakan pada langkah ini. Selain kayu, dowel pin terbuat daripada aluminium atau plastik merupakan antara pilihan yang boleh didapatkan dengan mudah. (Gambar 8)
Pada kedua-dua bahagian hujung tali, cangkuk rantai akan diikatkan bagi memudahkan ia dimasukkan pada eye hook mahupun ditanggalkan untuk mengganti gelungan kertas. Selain mendapatkannya dalam bentuk yang tersedia, awda juga boleh merekanya sendiri menggunakan besi klip kertas yang dibentuk menggunakan playar snap ring. (Gambar 9)
Sebelum mengikatkan tali penggantung pada bahagian dowel pin yang telah ditebuk pada kedua-dua bahagian hujungnya, sebiji manik akan dimasukkan bagi menjadikan rekaan tampak lebih menarik. Langkah ini merupakan satu pilihan, malahan awda juga boleh menggunakan manik berlainan bentuk atau warna asalkan panjang tali antara kedua-duanya sekata. (Gambar 10)
Dalam memudahkan kertas yang ditulis dipotong untuk disimpan ketika membeli-belah, besi daripada bilah hack saw akan ditempatkan pada bahagian bawah rekaan. Besi dengan panjang 9cm diperlukan dengan kedua-dua bahagian hujungnya ditebuk untuk ruangan skru. Setelah menebuknya, tetapkan kedudukannya pada jarak 2cm daripada bahagian bawah. (Gambar 11)
Pada bahagian belakang rekaan pula, empat biji magnet berbentuk bulat akan dilekatkan pada bahagian atas dan bawah rekaan (belakang). Ini bertujuan bagi membolehkan rekaan ditempatkan pada permukaan peti sejuk di mana ia mudah untuk dicapai.
Dengan langkah terakhir ini, kini awda boleh mencatatkan segala keperluan dapur sebagai persediaan untuk membeli-belah. (Gambar 12)
Tip rekaan
Selain lakuer kayu jenis berus, awda juga boleh menggunakan jenis sembur untuk mempercepat langkah melindungi permukaan kayu.
Tambah jumlah magnet pada bahagian belakang rekaan jika diperlukan untuk memastikannya dapat dilekatkan pada permukaan peti ais.
Pastikan bahagian mata hack saw menghadap pada bahagian bawah untuk memudahkan kertas dipotongkan.