Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penghijrahan Sarawak dapat perhatian dunia

    KUCHING, 7 JULAI – Penghijrahan Sarawak mendapat perhatian dan pengiktirafan dunia terutama dari segi tadbir urus yang menekankan isu alam sekitar dan kelestarian, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Abang Johari berkata hal itu terbukti apabila negara luar sering mengundang beliau untuk berkongsi kaedah menguruskan alam sekitar yang menyumbang kepada kebaikan manusia dan sejagat.

    “Kita berhijrah ke cara baharu, kita dapat mengatasi masalah dunia pada hari ini (perubahan iklim dan keselamatan makanan), saya insya-Allah bulan depan dijemput ke Sydney, Australia untuk memberikan ceramah mengenai cara Sarawak dalam menguruskan alam sekitar.

    “Kalau bulan lepas di Poland, Eropah selepas itu Bangkok di Thailand, insya-Allah selepas Sydney akan ke Hong Kong. Bukan sahaja orang Islam berhijrah ke arah kebaikan, orang bukan Islam juga berhijrah bersama,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1446 di sini hari ini.

    Abang Johari berkata Piagam Madinah perlu dijadikan sebagai rujukan dan panduan dalam mengatur serta mengelola pentadbiran untuk menaik taraf kehidupan rakyat.

    “Melalui pendidikan dan pegangan yang kuat dan usaha, kita di Sarawak akan terus berhijrah ke arah kebaikan dan Sarawak akan menjadi negeri yang makmur dan maju,” katanya.

    Pada majlis itu, Tun Wan Junaidi serta isteri turut menyampaikan Anugerah Maal Hijrah 1446 kepada 14 penerima anugerah berdasarkan kategori. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda