Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Sebanyak 245 undian menyatakan bersetuju manakala 108 undian tidak bersetuju dan enam lagi undian rosak dalam Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Kapok, Mukim Serasa, yang buat julung kalinya diadakan secara pandu lalu, hari ini.
Majlis berkenaan yang berlangsung di Sekolah Rendah Kapok, Jalan Kapok Kanan itu menyaksikan pengundian calon tunggal, Awang Shahminan bin Haji Abdul Rahman, 52, untuk mengisikan jawatan berkenaan.
Awang Shahminan bertugas sebagai mandur di Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dan bermastautin di Kampung Kapok, Mukim Serasa sejak 1994.
Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim menjelaskan, majlis pengundian itu diadakan dalam norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), Kementerian Kesihatan.
“Pengundian ini dilaksanakan dengan tiga kaedah iaitu secara dalam talian yang menggunakan aplikasi E-undi PMKK, kaedah secara pandu lalu menggunakan tablet (offline) yang disediakan oleh urus setia dan kaedah membuang undi menggunakan kertas undi rasmi yang disediakan oleh urusetia majlis,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, keputusan pengundian yang diperoleh itu akan dibawa dan diguna pakai dalam menyediakan sokongan untuk mempertimbangkan bagi menyandang jawatan ketua kampung di Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri untuk proses seterusnya.
Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah ahli Majlis mesyuarat Negara Zon 2, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman juga selaku ketua Kampung Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong dan juga pemangku Penghulu Mukim Serasa.
Dalam pada itu, Majlis Pengundian dan Pemilihan Ketua Kampung Menunggol, Mukim Kota Batu pula akan diadakan pada 19 Disember depan di Sekolah Rendah Nakhoda Abdul Rashid, Kampung Menunggol.
Sehubungan itu, penduduk-penduduk Kampung Menunggol, Mukim Kota Batu yang terdiri daripada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam, tinggal bermastautin di kampung berkenaan serta berumur tidak kurang 18 tahun (pada tarikh pengundian) dialu-alukan untuk mendaftar sebagai pengundi.
Pendaftaran untuk mengundi hendaklah dibuat menerusi Pemangku Ketua Kampung Menunggol, Awang Yusup bin Mohammad atau ke Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Jabatan Daerah Brunei dan Muara yang telah berlangsung pada masa ini sehingga 19 Disember.
Penduduk kampung juga boleh mendaftar untuk me-ngundi semasa majlis itu diadakan nanti.