Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peningkatan dalam radikalisme wanita

    JAKARTA, 1 Feb – Wanita Indonesia mengambil peranan lebih aktif dalam ekstremisme dengan sebahagiannya mahu menjadi pengebom nekad Kumpulan Islamic State (IS), sebuah kumpulan pemikir keselamatan memberi amaran.

    Masalah yang semakin membimbangkan ini menonjol selepas penangkapan dalam Disember ke atas dua wanita dikaitkan dengan IS yang didakwa merancang serangan berani mati di negara paling padat penduduk Islam dunia itu, menurut satu laporan dari Institut bagi Analisis Dasar Konflik (IPAC) yang berpusat di Jakarta.

    Ramai dari Indonesia—yang sudah lama bergelut dan pemisahan Islam—pergi ke Timur Tengah untuk menyertai Is, manakala radikal di negara itu sudah pun berikrar untuk menyokong dan taat setia kepada kumpulan dengan serangan dan komplot dikaitkan dengannya.

    Namun wanita Indonesia semakin meningkat keinginan mereka untuk terlibat dalam radikalisme, berbanding hanya menyokong suami ekstremis mereka, mencetuskan risiko baru, menurut laporan dari IPAC yang diketuai oleh penganalisis keselamatan veteran Indonesia, Sidney Jones.

    “Wanita-wanita Indonesia dalam organisasi ekstremis kini semakin setaraf dalam amalan berbahaya dengan saudara wanita mereka di bahagian lain dunia,” menurut kajian itu.

    Pembabitan wanita yang semakin tinggi dikaitkan bukan sahaja dengan tarikan IS malah peningkatan dalam media sosial yang sofistikated yang membolehkan lebih ramai wanita membaca propaganda kumpulan ini dan mengambil bahagian dalam forum sembang radikal, menurut laporan yang dikeluarkan lewat semalam.

    Kes paling berprofil tinggi adalah penahanan dua orang bekas pembantu rumah, Dian Yulia dan Ika Puspitasari yang didakwa menjadi sukarelawan untuk menjadi pengebom berani mati di Jakarta dan Bali.

    Radikal terkemuka IS Indonesia, Bahrun Naim yang dituduh mengarahkan kebanyakan siri komplot keganasan yang digagalkan di tanah airnya dari Syria, memberikan mereka arahan dan sokongan kewangan, menurut laporan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda