Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penstrukturan tingkatkan sistem penyampaian – Shafie

    KOTA KINABALU, 25 Jun – Kerajaan negeri akan melaksanakan penstrukturan dalam pentadbiran di jabatan dan agensi kerajaan negeri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi meningkatkan keberkesanan fungsi dan sistem penyampaian organisasi berkenaan.

    Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penstrukturan berkenaan juga perlu bagi mengurangkan pembaziran serta ketirisan sumber dan dana kerajaan sekali gus memenuhi aspirasi rakyat Sabah yang memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

    “Kita akan lihat, jika ada pertindihan dan ada keperluan mengecilkan (sesuatu agensi), kita akan mengecilkannya. Contohnya beberapa GLC yang banyak sangat badan dan sendirian berhad (anak-anak syarikat). Kalau perlu kita gabungkan, kita akan gabungkan supaya ada fokus.

    “Kalau (GLC itu) bahagian perladangan, ia (fokus) kepada perladangan. Kalau pembalakan, bahagian pembalakan. Banyak sangat agensi (menyebabkan) banyak sangat pembaziran dan ketirisan. Yang penting kepada kita ialah penyelarasan dari segi perkhidmatan yang ada,” katanya.

    Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Dengan Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah di sini hari ini.

    Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersalaman dengan kakitangan perkhidmatan awam persekutuan dan negeri Sabah pada perhimpunan ketua menteri bersama perkhidmatan awam negeri dan persekutuan di Bangunan Pentadbiran Negeri Sabah, kelmarin. – Bernama

    Majlis itu dihadiri kira-kira 1,000 ketua dan pegawai kanan jabatan negeri dan persekutuan.

    Mohd Shafie berkata melalui penyelarasan perkhidmatan, aset, sumber dan kemudahan yang dimiliki kerajaan negeri dan persekutuan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan cekap melalui pendekatan saling bantu-membantu demi faedah rakyat.

    Dari aspek keselamatan sebagai contoh, kata Mohd Shafie, Sabah memerlukan bantuan kerajaan persekutuan, namun penempatan aset keselamatan agensi-agensi keselamatan perlu diselaraskan sebaik-baiknya.

    Katanya dengan penyelarasan fungsi seperti itu, maka tidak timbul isu terdapat kawasan yang memerlukan aspek keselamatannya ditingkatkan, tetapi kemudahan tidak diletakkan di kawasan tersebut.

    Menurutnya, walaupun urusan dan penstrukturan serta perubahan yang perlu dilakukan di bawah kerajaan baharu yang diterajui Parti Warisan Sabah itu mungkin mengambil sedikit masa, namun ia perlu dilakukan dan dijayakannya.

    Mengenai cadangannya sebelum ini bagi menempatkan semula beberapa kem tentera sedia ada ke Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), Mohd Shafie berkata perkara itu masih di peringkat cadangan dan perlu dibincang dengan kementerian terlibat kerana ia memerlukan persetujuan kerajaan persekutuan.

    Bagaimanapun, beliau berkata aspek keselamatan di kawasan pantai timur Sabah perlu diberi perhatian serius kerana kawasan berkenaan merupakan destinasi pelancongan penting di negeri ini dan antara penyumbang pendapatan yang besar kepada ekonomi negeri.

    “Kita perlu suburkan dan jaga sektor ini (pelancongan). Salah satu kebimbangan pelancong bukan kerana barang mahal atau (kurang) kemudahan tempat tinggal. Homestay banyak, cuma dalam konteks keselamatan, masih lagi berkisar dalam pemikiran pelancong antarabangsa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda