CANBERRA, 19 FEB – Pasukan penyelidik antarabangsa yang diketuai Australia telah membuat satu kejayaan besar dalam merawat luka kronik dengan berkesan.
Dalam penyelidikan yang diterbitkan hari ini, penyelidik dari Australia, Jepun, Britain dan Amerika Syarikat menerangkan bagaimana mereka menggunakan plasma untuk menghasilkan rawatan yang lebih berkesan untuk luka kronik yang tidak memerlukan antibiotik atau pembalut berasaskan perak.
Ketua kumpulan penyelidikan ubat plasma di University of South Australia (UniSA) dan ketua kajian itu, Endre Szili, berkata dalam siaran media kaedah baharu itu merupakan satu kejayaan ketara yang boleh merevolusikan rawatan luka dalaman, ulser kaki diabetes dan tumor yang berpotensi menjadi kanser.
Rawatan terapi hidrogel teraktif plasma (PAHT) melibatkan penggunaan gas ion plasma sejuk, yang menghasilkan oksidan yang kuat, untuk meningkatkan pembalut hidrogel, menjadikan gel jauh lebih berkuasa dan membunuh bakteria biasa yang menyebabkan luka dijangkiti.
Szili berkata hidrogel teraktif plasma juga boleh membantu melawan jangkitan sedia ada.
“Jangkitan luka kronik adalah pandemik senyap yang mengancam sebagai krisis penjagaan kesihatan global,” katanya.
“Adalah penting untuk kita mencari rawatan alternatif kepada antibiotik dan pembalut perak kerana apabila rawatan ini tidak berkesan, amputasi sering berlaku.”
Menurut kajian, lebih daripada 540 juta orang di seluruh dunia menghidap diabetes, 30 peratus daripadanya akan mengalami ulser kaki sepanjang hayat mereka. Ia menganggarkan kos menguruskan luka kronik seperti ulser kaki diabetis melebihi AS$17 bilion di seluruh dunia setiap tahun. – Xinhua