Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Peraduan lukisan pupuk kasih sayang keluarga

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA) terus melaksanakan kegiatan pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah sebagai menyahut seruan Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk bekerjasama mencegah penyalahgunaan dadah di Negara Brunei Darussalam.

    Pada masa yang sama, ia juga bermatlamat ke arah membentuk keluarga dan rumah tangga yang penuh harmoni dan kukuh sebagaimana sebuah keluarga yang sakinah, mawaddah, warahmah, kata Yang Dipertua Persatuan BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah bagi Peraduan Lukisan Keluarga, sempena Hari Keluarga Kebangsaan 2022 yang diadakan di Hotel Parkview, Jerudong pada 30 Oktober lalu.

    Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Dayang Sufina binti Haji Sulaiman.

    Sementara itu, Naib Yang Dipertua Persatuan BASMIDA, Hajah Linda Aini binti Abdullah berkata peraduan anjuran Persatuan BASMIDA dengan kerjasama Yayasan yang membawa tema ‘Keluargaku’ itu telah mendapat sambutan yang sangat baik dan menggalakkan. Beliau menyatakan bahawa peraduan itu turut mengetengahkan beberapa sub tema iaitu Nilai Mulia dan Tinggi dalam Keluarga, Saya Sayangkan Keluarga Saya, Keluargaku Harapanku Masa Hadapanku dan Keluarga Sakinah, Mawaddah, Warahmah, bermatlamat untuk mewujudkan kesedaran mengenai ciri-ciri individu yang cemerlang, kreatif dan pemedulian.

    Ia juga bermatlamat untuk mengetengahkan rasa kasih sayang dalam keluarga dan berwawasan dalam pelbagai aspek kehidupan serta mempunyai pendirian yang teguh, mantap dan berwibawa.

    “Dengan adanya peraduan ini, ia dapat membukakan ruang dan memberikan peluang kepada ahli-ahli keluarga untuk bekerjasama dalam sebuah keluarga khususnya dalam mencipta daya kreatif masing-masing melalui peraduan lukisan mengikut sub tema yang telah disediakan,” ujarnya.

    Majlis kemudian menyaksikan Dayang Sufina menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada 13 orang peserta peraduan lukisan berkenaan di mana mereka telah dikategorikan Cemerlang.

    Sebanyak 18 penyertaan lukisan telah mendapat kategori Cemerlang dan menerima hadiah wang tunai bernilai $50 bagi setiap penyertaan mengikut sub tema yang disertai.

    Dayang Sufina dan Datin Hajah Masni bergambar ramai dengan para pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah bagi Peraduan Lukisan Keluarga, sempena Hari Keluarga Kebangsaan 2022, baru-baru ini. – Gambar serahan BASMIDA
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...