TOKYO, 26 JUN – Semua peralatan yang diperlukan untuk pelepasan air sisa radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima yang rosak ke laut telah siap dan sedia untuk pemeriksaan keselamatan oleh pengawal selia Jepun minggu ini, kata operator loji itu hari ini, ketika bantahan kepada rancangan itu diteruskan di dalam dan di luar Jepun atas kebimbangan keselamatan.
Tokyo Electric Power Company Holdings (TEPCO) berkata ia memasang bahagian terakhir terowong dasar laut yang digali untuk melepaskan air di luar pesisir, menamatkan pembinaan peralatan yang diperlukan yang bermula Ogos lalu.
Pemeriksaan keselamatan mandatori peralatan itu akan dimulakan Rabu ini, kata Pengerusi Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Nuklear, Shinichi Yamanaka yang melawat kilang Fukushima Daiichi minggu lalu.
Jika semuanya berjalan lancar, TEPCO dijangka menerima permit keselamatan untuk pelepasan kira-kira seminggu selepas pemeriksaan tamat, kata pegawai.
Perlepasan air terawat itu dijangka bermula pada musim panas ini, walaupun tarikh sebenar belum ditetapkan.
Rancangan itu berdepan bantahan hebat daripada kumpulan nelayan tempatan yang bimbang tentang keselamatan dan kerosakan reputasi. Negara-negara berdekatan, termasuk Korea Selatan, China dan beberapa negara Pulau Pasifik juga membangkitkan kebimbangan keselamatan.
Pegawai kerajaan dan utiliti berkata air sisa, yang kini disimpan dalam kira-kira 1,000 tangki di loji itu, mesti dialihkan untuk mengelakkan sebarang kebocoran tidak disengajakan sekiranya berlaku gempa bumi.
Mereka berkata air yang dirawat tetapi masih ada sedikit radioaktif akan dicairkan ke tahap selamat dan akan dilepaskan secara beransur-ansur ke lautan selama beberapa dekad, menjadikannya tidak berbahaya kepada manusia dan hidupan marin. – AP