PENAMPANG, 26 Feb – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah memainkan peranan penting dalam usaha merealisasikan hasrat negeri ini menjadi sebuah negeri maju, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.
Beliau berkata perkhidmatan yang ditawarkan JPS bukan sahaja penting dalam menyediakan infsrastruktur sektor pertanian malah turut membantu menyediakan suasana kondusif bagi sektor ekonomi lain untuk berkembang maju dengan baik melalui penyediaan sistem pengairan dan saliran yang memuaskan.
“Institusi ini memang amat penting dalam menjaga sistem perparitan dan saliran juga memelihara tebing sungai daripada runtuh dan tepi laut daripada terhakis serta mendapan. Inilah tugas-tugas JPS. Kalau (runtuhan tebing dan mendapan sungai serta hakisan pantai) tidak diperbaiki, ia akan membawa masalah kepada penduduk khususnya nelayan untuk keluar ke laut,” katanya.
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan logi Jubli Emas 50 Tahun JPS Sabah di sini hari ini. Menurut Yahya peranan JPS di kawasan bandar juga amat diperlukan bagi mengatasi masalah sistem perparitan dalam mengurangkan kesan bencana seperti banjir yang boleh mengganggu keselesaan rakyat.
Justeru, kata Yahya, JPS perlu melaksanakan tugas dengan lebih berkesan, proaktif, tegas dan prihatin agar agensi itu terus cemerlang pada masa akan datang. – Bernama