Monday, October 7, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perancis harapkan sentuhan Mbappe

    MUNICH, 8 JULAI – Perancis akan menghadapi pertembungan separuh akhir Euro 2024 menentang Sepanyol esok dengan harapan Kylian Mbappe dapat menghasilkan prestasi yang layak dengan status superstarnya pada kejohanan di mana dia bergelut untuk menemui rentak dan kecergasan dalam permainan.

    Perlawanan di Munich adalah prospek yang menggembirakan dan satu peristiwa besar terutamanya untuk Mbappe dalam kejohanan besar pertamanya mengetuai negaranya sejurus sebelum dia memulakan lembaran baharu dalam kariernya di Real Madrid.

    Pada usia 25 tahun, dan setelah menyelesaikan perpindahan impiannya ke kelab juara Liga Juara-juara baru-baru ini, Mbappe sepatutnya berada di kemuncak karier bola sepaknya.

    Namun lelaki yang telah memenangi Piala Dunia semasa remaja dan menjaringkan hatrik yang luar biasa pada perlawanan akhir 2022 di Qatar, belum lagi mempamerkan permainan terbaik di Kejohanan Eropah.

    Mbappe menyertai skuad Perancis selepas kempen terakhir yang sukar di Paris Saint-Germain yang dicemari dengan perpisahan daripada kelab itu di mana masa bermainnya telah dikurangkan.

    Keadaannya yang tidak pasti sedikit sebanyak telah menjejaskan aspek fizikalnya, ditambah lagi dengan kecederaan hidung dalam perlawanan pembukaan Les Bleus semasa kejohanan menentang Austria.

    Dia hanya menjaringkan satu gol, hasil sepakan penalti di Euro dan mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan persembahannya pada suku akhir menentang Portugal di Hamburg Jumaat lalu adalah yang terburuk dalam kariernya lebih-lebih lagi dalam kejohanan yang begitu besar. – AFP

    Mbappe bersaing dengan Mendes untuk mendapatkan bola semasa perlawanan bola sepak suku akhir Euro 2024 antara Portugal dan Perancis di Volksparkstadion di Hamburg pada 5 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda