PARIS, 16 DIS – Perancis akan melarang perjalanan tidak penting ke dan dari Britain mulai hujung minggu ini bertujuan memperlahankan penularan varian Omicron yang mencetuskan sejumlah besar kes di Selat, kata kerajaan hari ini.
Bermula tengah malam Sabtu, ‘peraturan akan dikuatkuasakan mewajibkan alasan untuk berkunjung ke atau dari UK, untuk mereka yang sudah divaksin dan tanpa vaksin. Orang ramai tidak boleh berkunjung atas sebab-sebab pelancongan atau profesional,” kata kerajaan dalam kenyataan.
“Berdepan dengan penularan amat pesat varian Omicron di UK, kerajaan telah memilih untuk mengembalikan peraturan yang memerlukan alasan untuk perjalanan dari dan ke UK,” menurut kenyataan. Ia menambah rakyat Perancis dan Kesatuan Eropah masih boleh pulang ke Perancis dari UK.
“Kami akan mengembalikan sistem kawalan yang lebih ketat berbanding sekarang,” beritahu jurucakap kerajaan Gabriel Attal kepada saluran BFMTV.
Attal berkata dasar itu bertujuan ‘memperketat jaringan’ untuk memperlahankan ketibaan kes Omicron di Perancis dan memberikan lebih banyak masa untuk kempen vaksin penggalak di Perancis.
“Strategi kami adalah untuk menangguh seberapa lama penularan Omicron di negara kami dan mengambil kesempatan ke atas kempen vaksinasi dos penggalak kami,” kata beliau.
“Orang yang pulang perlu mendaftar dalam aplikasi dan perlu mengasingkan diri di satu tempat pilihan mereka selama tujuh hari, dikawal oleh anggota keselamatan, namun ia boleh disingkatkan kepada 48 jam jika ujian negatif dilakukan di Perancis,” katanya.
Britain semalam mencatat 78,610 kes COVID-19, dengan saintis meramalkan kadar yang lebih tinggi memandangkan Omicron dipercayai menular jauh lebih cepat berbanding varian Delta. – AFP