Saturday, January 4, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbaiki diri, bukan sekadar pesta

    Setiap kali menjelang tahun baharu, masyarakat kita akan disajikan dengan pelbagai sambutan dan mengikut trend terkini yang kononnya seperti satu kemestian.

    Namun, bagi umat Islam khususnya, adalah penting untuk kita merenung kembali apakah sebenarnya makna yang terkandung dalam perayaan tahun baharu ini.

    Adakah ia sekadar pesta yang diwarnai dengan kemeriahan hiburan atau kita terlupa untuk menilai apakah yang lebih penting dari sekadar menyambut angka yang berubah?

    Sambutan tahun baharu sering kali dipenuhi dengan perayaan yang berlebihan, pertunjukan bunga api, majlis makan malam dan pelbagai bentuk hiburan yang akhirnya hanya mendorong kita untuk lebih mengutamakan keseronokan duniawi.

    Kita seharusnya merenung, apakah tahun baharu ini benar-benar memberi impak positif kepada kita? Sejauh mana kita memanfaatkan detik-detik yang ada untuk meningkatkan amal ibadat dan memperbaiki diri?

    Malangnya, ramai yang lebih tertarik dengan pesta dan perayaan, sedangkan peringatan tentang perjalanan hidup dan bekalan akhirat sering dilalaikan.

    Walaupun tiada larangan khusus untuk menyambut tahun baharu, ia perlu disambut dengan niat yang benar dan bukan semata-mata kerana pengaruh budaya barat yang hanya mengutamakan kesenangan sementara.

    Sudah tiba masanya kita menilai semula tradisi yang berakar umbi ini. Alangkah lebih baik jika kita menjadikan setiap tahun baharu sebagai peluang untuk memperbaharui azam dan meningkatkan amalan ibadat, bukan sekadar mencari kesenangan duniawi yang tiada penghujungnya.

    Mungkin, jika kita lebih bijak memilih, kita dapat menyambut tahun baharu dengan lebih bermakna, bukan sekadar dalam bentuk luaran, tetapi dengan memperbaiki diri secara rohani dan jiwa.

    Muna

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda