Tuesday, December 24, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbicaraan kes CEO GISBH dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam

    KUALA LUMPUR, 23 DIS – Perbicaraan melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali, isterinya Azura Mohd Yusof dan 20 individu lain yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

    Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Lailatul Zuraida Harron, membuat keputusan tersebut selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun, bahawa pihak pendakwaan telah memperoleh keizinan dari Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes berkenaan.

    “Saya kemukakan keizinan bagi setiap tertuduh. Pihak pendakwaan memohon agar kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” kata Norinna. Turut didakwa bersama Nasiruddin dan Azura ialah anak bekas pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad, iaitu Mohammad Adib At-Tarmimi.

    Sementara itu, peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili pihak pembelaan tidak membantah permohonan itu.

    “Namun, untuk rekod mahkamah, Azura dan Nasiruddin telah diletakkan dalam penahanan pengasingan masing-masing di Penjara Sungai Buloh (Nasiruddin) dan Penjara Kajang (Azura) dan pasangan suami isteri itu telah diasingkan lebih dari sebulan sejak mereka berada di sana.

    “Kami akan membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan sokongan pihak polis supaya arahan pengasingan tersebut dilucutkan dan mereka dipindahkan ke sel biasa. Mohon perkara ini direkodkan dalam mahkamah,” kata peguam itu.

    Seorang lagi peguam, Najib Zakaria berkata pihaknya juga akan membuat permohonan perintah larangan bersuara di Mahkamah Tinggi kerana kes ini sedang diperkatakan secara umum yang bersifat subjudis, yang dikhuatiri akan mengganggu perjalanan kes.

    Pada prosiding hari ini, Rosli dan Najib dibantu oleh peguam Muhammad Zaim Rosli, Dorina Abdullah, Bestaman Ahmad dan M Hafiz Zainal Abidin, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim. – Bernama

    Seramai 22 individu pengurusan tertinggi Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) yang didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang tiba di Mahkamah Sesyen Selayang pada 22 Disember. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda