Sunday, September 29, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perdagangan Julai 2024 catat peningkatan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Jumlah perdagangan bagi bulan Julai 2024 meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada $1,969.1 juta, berbanding Julai 2023, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), hari ini.

    JPES memaklumkan peningkatan itu adalah hasil sumbangan nilai eksport sebanyak $1,174.9 juta dan nilai import sebanyak $794.2 juta, di mana penyumbang utama kepada nilai eksport adalah bahan api galian sebanyak 78.9 peratus, diikuti oleh bahan kimia sebanyak 19.1 peratus dan jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 1.1 peratus.

    Pasaran eksport utama adalah Jepun yang mencatat 28.9 peratus, diikuti oleh Australia dengan 18 peratus dan Republik Rakyat China sebanyak 15.7 peratus, sementara
    komoditi eksport terbesar ke negara-negara tersebut adalah bahan api galian dan bahan kimia.

    Manakala, import pada bulan Julai 2024 bernilai $794.2 juta, dengan tiga komoditi import utama adalah bahan api galian, menyumbang sebanyak 62.8 peratus, diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 11.4 peratus dan makanan sebanyak 11.3 peratus.

    Malaysia kekal sebagai rakan dagangan import terbesar negara, menyumbang 36.8 peratus, diikuti oleh Indonesia dengan 17.4 peratus dan Australia sebanyak 13.9 peratus, di mana komoditi import utama daripada rakan dagangan adalah bahan api galian, makanan, dan jentera dan bahan kimia.

    Secara keseluruhan, imbangan perdagangan menurun 12.9 peratus, disebabkan peningkatan import sebanyak 7.3 peratus dengan nilai eksport mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 peratus.

    Import bagi kategori penggunaan akhir, terutamanya digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan sebanyak 60 peratus, diikuti oleh barangan modal sebanyak 35.6 peratus bagi operasi perniagaan dan barangan penggunaan sebanyak 4.4 peratus bagi kegunaan isi rumah.

    Laporan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi bulan Julai 2024 boleh didapati di laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.

    Taburan eksport mengikut rakan dagangan. – GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda