Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Piala Dunia FIFA 2022 sudah hampir ke kemuncaknya dengan perlawanan peringkat akhir antara Argentina dan Perancis dijadualkan berlangsung pada malam 18 Disember.
Apa yang menariknya pada kali ini ialah perlawanan tersebut juga akan menentukan siapakah yang bakal menerima anugerah kasut emas pada kejohanan kali ini. Setakat ini, Lionel Messi dan Kylian Mbappe mendahului senarai penjaring terbanyak dengan jumlah lima gol.
Mungkinkah Messi mendapat kasut emas pertamanya sekali gus menjulang trofi Piala Dunia pertamanya atau Mbappe yang bakal memenangi kasut emas pertamanya dan mempertahankan gelaran juara Piala Dunia yang dimenanginya sejak empat tahun lalu.
Lionel Messi yang mungkin tampil buat kali terakhir bagi Argentina pada kejohanan Piala Dunia telah mempamerkan aksi terbaiknya dengan membantu pasukannya memenangi perlawanan menentang Croatia dan mara ke peringkat akhir.
Salah seorang penyokong pasukan Argentina yang ditemui pihak Media Permata berkongsi pandangannya menjelang perlawanan akhir pada hujung minggu ini.
Haji Muhd Yazid Hazeeman bin Yussop menjelaskan bahawa beliau menyokong Argentina kerana kehebatan Messi di mana beliau percaya yang Messi akan menjadi lebih bersemangat pada perlawanan akhir nanti memandangkan ia berkemungkinan Piala Dunia terakhirnya setelah berjaya memperoleh piala Copa America pada tahun 2021.
Pada masa yang sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan Kylian Mbappe mampu mencetak gol pada perlawanan akhir nanti namun masih berharap agar Argentina dapat memastikan benteng pertahanan mereka dikawal rapi agar pasukan itu dapat menjulang Piala Dunia ketiga mereka buat kali pertama sejak tahun 1986.
Perancis pada masa yang sama turut memiliki keazaman yang kuat untuk mencipta sejarah tersendiri dengan memenangi Piala Dunia dua kali berturut-turut seperti yang dilakukan oleh Brazil pada tahun 1958 dan 1962.