BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Orang ramai khususnya para pemilik kenderaan bermotor dan pemandu diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ada demi memastikan keselamatan bersama.
Ini termasuk memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan tidak menyalahi Akta dan Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya seperti pengubahsuaian terhadap bentuk asal kenderaan dan apabila berada di stesen minyak, pemandu mestilah mematikan enjin kenderaan, dan tidak menyalakan api atau rokok, serta tidak menggunakan telefon bimbit kerana minyak kenderaan adalah bahan yang mudah terbakar.
Selain itu, membuat pemeliharaan terhadap enjin dan sistem kenderaan mengikut tatacara yang betul dan mengikut tempoh waktu yang ditetapkan untuk penyelanggaran (periodical servicing) oleh syarikat-syarikat pengedar kenderaan masing-masing atau stesen-stesen pemeriksaan kenderaan yang berdaftar di negara ini serta menggalakkan untuk mengadakan peralatan kecemasan bagi membantu sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini.
Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) membuat peringatan berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan kejadian kebakaran kenderaan bermotor yang berlaku di Stesen Minyak Koperasi Persatuan KOTIBA, Kampung Salambigar pada 5 Ogos lalu.
Dalam kenyataan itu, JPD juga menekankan kepada pemandu-pemandu dan pemilik kenderaan bermotor di negara ini supaya memastikan urusan tukar milik kenderaan diuruskan dengan betul. Kegagalan berbuat demikian adalah menjadi kesalahan di bawah Peraturan 48, Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya Bab 68 dan boleh dikenakan kompaun sebanyak $50.
Selain itu, pastikan lesen kenderaan tidak mansuh dan masih sah digunakan yang mana kegagalan berbuat demikian adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 8, Akta Lalu Lintas Jalan
Raya Bab 68 dan boleh dikenakan kompaun sebanyak $100 bagi kesalahan pertama, $200 bagi kesalahan kedua, $400 bagi kesalahan ketiga dan boleh dibawa ke mahkamah bagi kesalahan seterusnya.
Orang ramai juga ditekan supaya memastikan lesen memandu adalah sah dan tidak mansuh yang mana kegagalan berbuat demikian adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 16, Akta Lalu Lintas Jalan Raya Bab 68 dan boleh dikenakan kompaun sebanyak $50 bagi kesalahan pertama, $150 bagi kesalahan kedua, $300 bagi kesalahan ketiga, $500 bagi kesalahan keempat dan kesalahan seterusnya boleh dihadapkan ke mahkamah.
Dalam pada itu, JPD juga menekankan pentingnya para pemandu dan pemilik kenderaan bermotor di negara ini untuk sama-sama bertanggungjawab dalam meningkatkan keselamatan di jalan raya terutama dalam mencegah kejadian kebakaran kenderaan.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut lagi mengenai Akta dan Peraturan Lalu Lintas Jalan
Raya, sila hubungi Talian Darussalam 123; menghantar pesanan melalui WhatsApp Talian Darussalam di
talian 8333123 atau melayari laman sesawang Talian Darussalam www.123.gov.bn.