WASHINGTON, 4 DIS – Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) hari ini mengekalkan keputusannya untuk menolak pakej pampasan besar bernilai AS$55.8 bilion bagi Elon Musk di Tesla, menafikan usaha untuk memulihkan perjanjian gaji tersebut melalui undian pemegang saham.
Dalam satu pemfailan mahkamah, Canselor Kathaleen McCormick dari Mahkamah Chancery Delaware memutuskan bahawa usaha Tesla untuk mengesahkan pakej pampasan Musk melalui undian pemegang saham pada Jun tidak dapat mengatasi keputusannya pada Januari yang membatalkan pakej tersebut sebagai berlebihan dan tidak adil kepada pemegang saham.
McCormick menemui beberapa kelemahan dalam usaha pengesahan Tesla, termasuk penyataan yang salah dalam dokumen yang diberikan kepada pemegang saham mengenai kesan undian mereka.
“Usul untuk membuat semakan ditolak,” tulis McCormick.
“Dengan kumpulan firma-firma pertahanan yang besar dan berbakat, mereka menjadi kreatif dengan hujah pengesahan itu, tetapi teori-teori luar biasa mereka bertentangan dengan beberapa garis panduan undang-undang yang telah diputuskan,” tambahnya.
Dalam kenyataan di platform media sosial X milik Musk, Tesla berkata mereka akan merayu keputusan itu.
“Pemegang saham sepatutnya mengawal undian syarikat, bukan hakim,” kata Musk, dalam satu pos berasingan.
Mahkamah juga memperuntukkan AS$345 juta sebagai yuran peguam, jauh lebih sedikit daripada $5.6 bilion yang diminta oleh peguam-peguam plaintif Richard Tornetta, seorang pemegang saham Tesla.
Walaupun mengakui bahawa kaedah pengiraan mereka secara teknikalnya sah mengikut undang-undang Delaware, yang mengira bayaran berdasarkan peratusan manfaat yang dicapai, McCormick memutuskan bahawa ganjaran sebesar itu akan dianggap sebagai keuntungan berlebihan. – AFP