Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Sebagai institusi kewangan terbesar di negara ini, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sentiasa komited untuk menyokong pembangunan syarikat-syarikat permulaan tempatan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) demi memperkasa mereka dalam penyelesaian perniagaan digital yang kuat dan komprehensif.
“BIBD akan segera melancarkan Merchant Portal sendiri sebagai sebahagian daripada usaha bank untuk lebih memahami keperluan dan pilihan PMKS serta membina pendekatan, produk dan alat yang inovatif untuk menjangkau mereka,” jelas Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar semasa sidang media mengenai Kerjasama BIBD dan FinTech di Ruang Eksekutif, Tingkat 10, Ibu Pejabat BIBD, di ibu negara, hari ini.
Jelasnya, kira-kira 80 peratus pelanggan korporat BIBD adalah PMKS, dengan akses ke platform SME360 bank, penyelesaian perbankan komprehensif yang memenuhi keperluan perniagaan dan merangkumi akses kepada pasukan pengurusan hubungan yang berdedikasi, penyelesaian kewangan dan juga pembayaran digital, bagi menyokong dorongan negara ke arah menjadi negara pintar yang dikuasakan oleh ekonomi digital.
Beliau turut mengongsikan bahawa BIBD juga menawarkan Mastercard Payment Gateway Services kepada PMKS yang ingin menerima pembayaran digital bersama dengan penyelesaian pembayaran digital yang ada seperti QuickPay dan terminal kad kredit fizikal.
Menyedari bahawa syarikat permulaan adalah komponen penting dalam kepelbagaian ekonomi, BIBD melabur untuk menyokong ekosistem ‘start-up’ tempatan melalui pelbagai usaha yang bertujuan untuk mendorong inovasi dan kreativiti.
Di bawah tonggak pendidikan dan keusahawanan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) BIBD, bank tersebut kini sedang berusaha untuk mengembangkan program yang akan mengundang pelajar pengajian tinggi dan start-up untuk mengemukakan idea baharu dan penyelesaian FinTech yang inovatif.
Di samping itu, BIBD juga sering bekerjasama dengan para pemula akan datang yang menggaji orang muda tempatan dengan visi bersama untuk menyokong transformasi digital negara melalui kolaborasi dan perkongsian strategik, serta menyokong syarikat-syarikat permulaan tempatan dalam perjalanan pertumbuhan mereka.
“Sebagai contoh, BIBD ketika ini bekerjasama dengan Pocket, aplikasi gaya hidup dengan sistem pembayaran digital berasaskan QR sendiri, untuk mempromosikan kad kreditnya, yang menandakan kesediaan bank untuk mengambil pendekatan kolaboratif dengan pemain baharu di ruang FinTech,” jelasnya lagi.
BIBD juga bekerjasama erat dengan ThinkAxis, sebuah syarikat permulaan tempatan yang mengkhususkan diri dalam penyelesaian AI, pembelajaran mesin serta pengembangan web dan mudah alih, untuk membuat inisiatif CSR terbaharu, Community for Brunei.
Sementara itu, BIBD juga sedang berusaha untuk bekerjasama dengan Beep, penyedia penyelesaian pembayaran digital yang akan datang.
Ketiga-tiga start-up berkenaan turut hadir di sidang media tersebut bagi sama-sama mengongsikan penjelasan mengenai syarikat FinTech mereka dengan kerjasama BIBD, serta pe ngalaman dan cabaran-cabaran yang mereka hadapi selaku syarikat FinTech.
Antara mereka yang hadir ialah IvanNinan dari ThreeG Media (aplikasi Pocket), Rahman Yoonus dari ThinkAxis, dan Denny Muslim dari Beep.