Friday, November 29, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa peranan, penglibatan belia dalam kemajuan negara

    Oleh Yusrin junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) baru-baru ini telah mengadakan acara seranta awam bersama golongan belia dari Daerah Belait sebagai sebahagian daripada usaha berterusan bagi melibatkan pelbagai pihak dalam penyediaan pelan-pelan pembangunan.

    Acara itu telah berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, Daerah Belait.
    Hadir pada acara tersebut ialah Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa, Dr Marsita binti Omar selaku pengerusi acara tersebut, termasuk para pegawai dari agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

    Acara itu bertujuan untuk mendengarkan dan mendapatkan input mengenai inspirasi atau cabaran dalam menjana kemajuan bagi Daerah Belait serta memperkasa peranan belia-belia dalam kemajuan negara.

    Di samping itu, ia turut menggalakkan penglibatan aktif pihak tersebut bagi sama-sama membincangkan isu-isu kemajuan serta mengutarakan idea atau pendekatan kreatif dalam menghasilkan kemajuan khususnya bagi menjana pertumbuhan ekonomi dan sosial penduduk secara menyeluruh.

    Salah satu aktiviti utama yang dijalankan adalah perbincangan berkumpulan di mana para belia telah dibahagikan kepada empat kumpulan yang masing-masing diberikan tema khusus perbincangan.

    Salah seorang ahli kumpulan semasa menyampaikan pembentangannya. pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH: Sesi perbincangan berkumpulan yang diadakan semasa acara itu. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Melalui perbincangan berkenaan para peserta berpeluang untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai isu-isu kemajuan yang dikenalpasti khususnya bagi Pekan Kuala Belait.

    Pada sesi akhir perbincangan, setiap kumpulan telah membentangkan dapatan beberapa penyelesaian dan aspirasi kreatif untuk masa hadapan bagi kemajuan Pekan Kuala Belait yang lebih membangun yang dihasratkan dapat membukakan peluang-peluang perkembangan ekonomi dan sosial termasuklah aktiviti-aktiviti rekreasi ke arah kehidupan yang sihat.

    Turut dibincangkan ialah mengenai keseimbangan keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar yang perlu dititikberatkan ke arah kemajuan mampan yang memerlukan pendekatan perancangan menyeluruh.

    Oleh itu, pembangunan bandar yang mampan harus dijalankan dengan mengambil kira keupayaan menampung keperluan bagi pelbagai sumber guna tanah tanpa menjejaskan aliran lalu lintas, kesihatan, keselamatan, atau alam sekitar secara negatif dan kemampanan bagi sesebuah kawasan bukan sahaja bergantung kepada perancangan, pengurusan dan pengawalan guna tanah yang efisien, akan tetapi ia juga bergantung kepada sokongan positif daripada pelbagai lapisan masyarakat.

    Selain perbincangan berkumpulan, JPBD juga menyediakan pameran mengenai perancangan guna tanah yang diharap akan dapat memberikan pendedahan kepada belia tentang beberapa pelan pembangunan yang dihasilkan bagi Daerah Belait.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda