Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Legasi Generasi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 DIS – Sebagai usaha menyumbang tenaga dalam melakukan intervensi terhadap isu-isu kesihatan mental secara tidak langsung mempromosikan kepentingan penjagaan kesihatan mental dalam kalangan belia di Negara Brunei Darussalam, Legasi Generasi telah menganjurkan program Perkhemahan Legasi Generasi yang diadakan di Kompleks Sukan Sungai Kebun.
Perkhemahan yang bertemakan Thrive, yang bermaksud berkembang maju, merupakan sebuah program kem yang menerapkan aspek kerohanian dan juga menitikberatkan ilmu daripada aspek sosial yang penting dipelajari seperti ilmu kekeluargaan, kesihatan mental dan pembangunan diri bagi menyediakan peserta dengan pemahaman dan kesedaran yang lebih mendalam tentang isu-isu berkenaan.
Program tersebut diadakan selama tiga hari dua malam dan berakhir hari ini yang disertai oleh seramai 23 orang peserta.
Antara pengisian aktiviti sepanjang perkhemahan termasuklah aktiviti fizikal seperti kepimpinan, permainan secara berkumpulan, refleksi diri dan banyak lagi.
Antara objektif perkhemahan tersebut ialah untuk memberikan pendedahan berkaitan dengan isu semasa, nilai-nilai perkembangan diri, serta pengetahuan berkaitan kekeluargaan.
Selain itu, ia juga menekankan mengenai aspek kepentingan mental yang sihat bagi diri seseorang agar dapat berfungsi dengan baik sama ada dalam keluarga, tempat kerja mahupun masyarakat melalui aktiviti-aktiviti yang menarik.
Perkhemahan itu dihasrat mempersiapkan para peserta agar dapat menerapkan ilmu yang disampaikan dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian mereka sekali gus menyediakan persekitaran yang selamat atau support system untuk menggalakkan para peserta keluar dari zon selesa bagi berkenalan dengan orang-orang baharu, membina ukhuwah dan mengeratkan silaturahim.