Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Jabatan Penerangan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Sebagai penyumbang utama kepada industri penghantaran surat dan bungkusan, Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP) dan syarikat-syarikat kurier di Negara Brunei Darussalam disarankan untuk sama-sama melaksanakan inisiatif-inisiatif bagi meningkatkan lagi kesedaran ke atas alam sekitar.
“Tuntutan untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran surat dan bungkusan lebih mesra alam adalah bertepatan pada masanya dan inovasi memainkan peranan penting di dalam menangani perkara ini.
“Ia juga bertepatan dengan visi Pelan Strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) 2025, iaitu untuk mencapai alam sekitar yang berdaya tahan (Environment Sustainability).”
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha (gambar) dalam perutusan sempena Sambutan Hari Pos Sedunia 2022.
Ke arah itu, ujar Yang Berhormat Pengiran lagi, beberapa cabaran perlu masih diatasi, lebih-lebih lagi ketika hendak mewujudkan perkhidmatan penghantaran surat tradisi yang cekap dan berdaya maju semakin banyak saingan seperti peralihan kepada penggunaan mel elektronik dan sebagainya, telah mengakibatkan penurunan jumlah persuratan fizikal yang pada lazimnya menjanakan hasil pendapatan.
Menyedari akan hakikat itu, model perniagaan JPP perlu melalui pembaharuan dan peralihan semasa, jelasnya lagi.
Dalam pada itu, JPP bertekad untuk berinovasi dan melakukan penambahbaikan berterusan.
“Ini termasuk usaha berterusan mereka dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih mesra alam, seperti membuat perancangan awal perjalanan dan destinasi dengan lebih teratur.
“Selain daripada meningkatkan produktiviti ianya juga lebih efisien dan menjimatkan,” tambah beliau.
Dalam usaha menjaga alam sekitar, JPP juga akan sentiasa berusaha dalam melaksanakan strategi dan kemajuan mengikut peredaran zaman supaya peranan pos akan sentiasa kekal relevan dalam aktiviti seharian bagi memenuhi kehendak pelanggan.
Terdahulu dalam perutusan itu, Yang Berhormat Pengiran menyatakan Hari Pos Sedunia diraikan setiap 9 Oktober oleh negara-negara ahli Kesatuan Pos Sedunia (UPU) bagi memberikan kesedaran umum mengenai dengan peranan pos dalam perkembangan sosial dan ekonomi global.
Pada 2022, UPU telah memilih tema Post for Planet, bagi memberikan kesedaran akan kepentingan peranan pos kepada alam sekitar dan impak akibat daripada aktiviti seharian yang boleh mendorong kepada perubahan iklim.
Tema berkenaan juga adalah demi mendukung Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke arah persekitaran yang berdaya tahan.
Penyedia perkhidmatan pos bagi 192 negara ahli UPU mempunyai lebih daripada 5 juta orang tenaga kerja dari lebih 600,000 pejabat di seluruh dunia.
Kesemua penyedia perkhidmatan pos adalah bertanggungjawab bagi sama-sama menyumbang ke arah alam sekitar yang berdaya tahan.