Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Pelajar-pelajar bahasa Jepun yang berminat untuk menduduki Ujian Kefasihan Bahasa Jepun (JLPT) 2023 adalah dialu-alukan untuk memohon bagi menduduki ujian berkenaan dengan permohonan dibukakan bermula 1 hingga 28 Ogos.
Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dalam kenyataannya, di sini, memaklumkan bahawa ujian itu akan diadakan pada 3 Disember di Pusat Bahasa, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Sehubungan itu, mereka yang berminat dikehendaki untuk menghantar borang permohonan ke Kedutaan Jepun tidak lewat daripada 28 Ogos.
JLPT mempunyai lima peringkat iaitu N1, N2, N3, N4 dan N5 dengan peringkat permulaan adalah N5 dan peringkat paling sukar adalah N1.
Ujian berkenaan telah ditawarkan oleh Japan Foundation sejak 1984 di mana ia merupakan ujian bagi pelajar-pelajar bukan berbangsa Jepun yang menilai serta menguji kefasihan mereka dalam bahasa Jepun.
Di Negara Brunei Darussalam, JLPT telah dilancarkan pada 2008 di mana ia terus diadakan pada setiap Disember.
Borang permohonan kini boleh didapatkan di Kaunter Bahagian Pendidikan dan Budaya, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dengan panduan ujian termasuk borang permohonan berharga $5 dan yuran ujian adalah $30 bagi setiap peringkat.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai JLPT boleh mendapatkannya menerusi laman sesawang https://jlpt.jp/e/index.html.