LEICESTER, 4 DIS – Ruud van Nistelrooy menikmati perlawanan pertamanya sebagai pengurus Leicester dengan kemenangan 3-1 ke atas West Ham dalam saingan Liga Perdana Inggeris kelmarin.
Jamie Vardy, Bilal El Khannouss, dan Patson Daka masing-masing menjaringkan gol untuk memastikan Van Nistelrooy memulakan tugas baharunya dengan cemerlang, tidak lama selepas meninggalkan United.
Bekas penyerang berbisa itu mengakui dirinya ‘terkejut’ dengan jumlah tawaran yang diterimanya selepas tempoh empat perlawanan sebagai pengurus sementara United, termasuk dua kemenangan ke atas Leicester.
Sebagai seorang penjaring yang hebat semasa zaman bermainnya, Van Nistelrooy menyaksikan dengan penuh kepuasan apabila Vardy membuka jaringan selepas hanya 99 saat di Stadium King Power.
Pada mulanya, gol itu telah dibatalkan kerana ofside, tetapi semakan VAR menunjukkan dia jelas berada dalam posisi sah untuk gol kelimanya musim ini.
Kekalahan bagi West Ham itu meningkatkan tekanan terhadap pengurusnya, Julen Lopetegui, selepas mencatatkan kekalahan ketujuh dalam 14 perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Pasukan pelawat menguasai sebahagian besar permainan dengan 31 percubaan berbanding lapan oleh Leicester, tetapi gagal memanfaatkannya.
West Ham juga mengalami kontroversi apabila satu gol dibatalkan selepas penjaga gol Leicester, Mads Hermansen, menumbuk bola ke gawang sendiri namun diberikan sepakan percuma kerana kontak minimal daripada Tomas Soucek.
Walau bagaimanapun, Leicester tetap berbahaya dalam serangan balas dan menggandakan kelebihan apabila Bilal El Khannouss tenang menyempurnakan hantaran Kasey McAteer.
Patson Daka kemudian meledak gol ketiga untuk Leicester sebelum Niclas Fuellkrug menjaringkan gol saguhati hujung perlawanan, gol pertamanya untuk West Ham. – AFP