PUTRAJAYA, MALAYSIA, 20 JAN – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara, mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke Sidang dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE ’25) dan Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber 2025 yang diadakan buat julung kalinya di Putrajaya, Malaysia.
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua menghadiri sidang-sidang kemuncak berkenaan atas undangan Menteri Dalam Negeri, Malaysia, Tuan Yang Terutama Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail.
Turut menyertai delegasi Negara Brunei Darussalam ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, TYT Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin, dan Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, selaku Ketua Sekretariat Jawatankuasa Keselamatan Negara.
Dengan tema Asia United: Charting the Future of Global Peace and Security through Law Enforcement Collaboration, Sidang Kemuncak AISSE ’25 bertujuan untuk memupuk kerjasama yang lebih erat di tahap serantau dan antarabangsa dalam menghadapi cabaran-cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
Manakala, Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber acara sampingan utama sempena AISSE ’25 yang bertujuan untuk mengetengahkan isu-isu kritikal dan strategi menangani jenayah siber yang semakin berleluasa dan membimbangkan.
Pembukaan rasmi sidang-sidang kemuncak tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, TYT Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi.
AISSE ’25 dan Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber 2025 disertai oleh lebih daripada 300 buah syarikat dari 20 buah negara dan menempatkan indoor booth dan pameran statik di luar.
Lebih daripada 1,000 delegasi antarabangsa termasuk pemimpin-pemimpin kerajaan, agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang, ahli-ahli akademik dan pakar industri turut menghadiri sidang-sidang kemuncak tersebut.
Semasa menghadiri sidang-sidang kemuncak tersebut, delegasi Negara Brunei Darussalam juga telah mengadakan kunjungan hormat kepada TYT Datuk Seri Saifuddin Nasution bagi membincangkan peluang-peluang kerjasama dalam bidang-bidang yang berkepentingan bagi kedua-dua buah negara.